Tuesday 26 November 2013

Ihsan Dalam Beribadat





KUALITI SESUATU IBADAH

“Quality is better than quantity” . Petikan kata ini tidak lain tidak bukan sudah menjadi halwa telinga masyarakat masa kini . Pandangan manusia  berbeza terhadap sesuatu mengikut kualiti dan nilai . Dalam kata lain , manusia memandang tinggi terhadap sesuatu yang mempunyai nilai yang tinggi dan akan berusaha untuk memelihara , menjaganya sebaik mungkin . Inilah lumrah kehidupan manusia , berkeinginan terhadap sesuatu yang terbaik , berharga dan bernilai . Allah s.w.t juga begitu , tidak lain tidak bukan memandang hambaNya yang beribadah dan mengingatiNya dengan bersungguh-sungguh dengan pandangan penuh rahmat .

        Sebagai hamba Allah yang beriman , sudah pastilah kita mengharapkan segala amal ibadah kita diterima oleh Allah yang menciptakan . Ahli falsafah terkemuka , Aristotle juga ada menyebut ‘pengiktirafan dan ganjaran datang kepada mereka yang menunjukkan kualiti yang baik dalam perbuatannya’ . Tuntasnya , untuk berusaha menjadikan amal ibadah kita diterima oleh Allah s.w.t , kita perlulah untuk sentiasa ‘upgrade’ kualiti ibadah kita agar kita menjadi seorang yang selayaknya diberi ganjaran oleh Allah taala . Di sinilah menjadi keperluan bagi kita untuk mengkaji , membahaskan , dan mempraktikkan  ihsan dalam beribadah .

      Sebagaimana yang telah diterangkan didalam penulisan sebelum ini , Syaikh ‘Abdurrahman as Sa’di menjelaskan akan perkataan IHSAN yang mencakupi dua macam perkara iaitu IHSAN dalam beribadah kepada Allah taala dan IHSAN dalam menunaikan hak sesama makhluk . Perihal ini menunjukkan IHSAN dalam beribadat menjadi sesuatu yang amat penting untuk diusahakan oleh seseorang muslim .

IHSAN DAN IBADAH

     IHSAN seperti yang dijelaskan sebelum ini berdasarkan hadis jibril a.s adalah ,”Engkau beribadah kepada Allah SWT seakan-akan engkau melihat-Nya, dan jika engkau tidak mampu melihat-Nya maka sesungguhnya Dia melihat kamu” .

     Manakala IBADAH menurut At-Tabari adalah khusyu’ kepadaNya , merendah diri dan tetap hati hanya kepadaNya . Yang dikatakan IBADAH ini bukan hanya didalam solat malah ruang likup ibadah ini sememangnya luas merangkumi seluruh kegiatan manusia apabila ia diniatkan untuk mencapai keredhaan Allah taala .Ya , itulah tujuan sebenar hidupnya seorang  , untuk mencapai mardhotillah .

     Yang membuatkan seseorang itu diterima ibadahnya oleh Allah taala iaitu apabila ibadahnya memenuhi dua syarat iaitu ikhlas hanya kepadaNya dan ittiba’ ( mengikut sunnah dan tuntutan Rasulullah s.a.w) .

BAGAIMANAKAH MENCAPAI IHSAN DALAM BERIBADAH

      Islam adalah sebuah agama petunjuk yang menyediakan al-quran sebagai pembimbing dikala kesamaran . IHSAN dalam beribadat boleh dicapai dengan mengkaji ,meneliti , dan mempraktikkan peringkat IHSAN dalam beribadah iaitu :

1 . seolah-olah kamu melihatNya .
   Sesungguhnya peringkat IHSAN ini merupakan peringkat yang paling tinggi disisi Allah taala kerana diperingkat ini seseorang sudahpun berada dekat dengan sang khaliq . Pemahaman terhadap cara bagaimana kita melihat Allah s.w.t adalah berbeza-beza samada merasakan kita melihat Allah seperti bos yang garang dan sentiasa mengawasi atau sebagai kekasih yang memberi kekuatan dan ketenteraman sanubari sebagaimana didalam surah ar-rad ayat 28 ,
الَّذِينَ آمَنُواْ وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُم بِذِكْرِ اللّهِ أَلاَ بِذِكْرِ اللّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ
(yaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka manjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram.
atau juga merasakan Allah menyayangi diri kita lebih daripada kasih sayang seorang ibu menyebabkan kita tidak mahu menyebabkanNya murka .Allah berfirman didalam surah al-A’raf ayat 56 .
وَلاَ تُفْسِدُواْ فِي الأَرْضِ بَعْدَ إِصْلاَحِهَا وَادْعُوهُ خَوْفًا وَطَمَعًا إِنَّ رَحْمَتَ اللّهِ قَرِيبٌ مِّنَ الْمُحْسِنِينَ
Dan janganlah kamu membuat kerusakan di muka bumi, sesudah (Allah) memperbaikinya dan berdoalah kepada-Nya dengan rasa takut (tidak akan diterima) dan harapan (akan dikabulkan). Sesungguhnya rahmat Allah amat dekat kepada orang-orang yang berbuat baik (ihsan)

       
2 . seolah-olah Allah melihat kita .

IHSAN didalam peringkat ini ialah kita berusaha  menerapkan sifat ikhlas didalam amal ibadat supaya segala ibadah yang dilakukan dihiasi dengan ketakwaan dan ditinggikan dengan kekhusukkan kepada Allah taala  kerana manusia percaya segala tindak-tanduknya akan dicatit oleh malaikat kiri dan kanan dan mereka akan dipertanggungjawabkan untuk setiap amalan mereka walau sekecil zarah sekalipun .

Allah berfirman didalam kitabnya :

وَاسْتَعِينُواْ بِالصَّبْرِ وَالصَّلاَةِ وَإِنَّهَا لَكَبِيرَةٌ إِلاَّ عَلَى الْخَاشِعِينَ
( Al-Baqorah:45)
 Jadikanlah sabar dan shalat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyu',


KUNCI EMAS KETAKWAAN

Sesungguhnya IHSAN menjadi kunci ketakwaan dan kekhusyukkan kepada seseorang yang menginginkan ibadah mereka dinilai dan dihargai dimata Allah . kejayaan tidak akan datang kepada manusia yang leka . Oleh itu , seharusnya IHSAN ini menjadi suatu sasaran bagi para muslim untuk dipraktikkan dan diusahakan . Ya , diakui sememangnya IHSAN ini sukar digapai oleh manusia yang setiap hari , setiap detik digoda oleh syaitan laknatullah namun haruslah kita menyedari sesungguhnya ‘mujahadah itu pahit kerana syurga itu manis’ . Ganjaran yang baik tidak akan datang  tanpa usaha yang gigih .

       Rabiah Al-Adawiyah , pencinta illahi yang terkenal dengan kewarakan dan sifat hubb yang tinggi terhadap Allah s.w.t juga antara insan yang hebat mengamalkan konsep IHSAN itu sendiri yang mana dia membentuk satu cara luar biasa didalam mencintai Allah .Antara syairnya yang masyhur :

“Kekasihku tiada menyamai kekasih lain biar bagaimanapun, 
Tiada selain Dia di dalam hatiku mempunyai tempat manapun, 

Kekasihku ghaib daripada penglihatanku dan peribadiku sekalipun, 

Akan tetapi Dia tidak pernah ghaib di dalam hatiku walau sedetik pun.”

KONKLUSI

IHSAN merupakan puncak prestasi dalam ibadah . Sebagai seorang pelajar , seharusnya kita memupuk nilai-nilai IHSAN semenjak dari sekarang iaitu ketika jasad kita masih tegap dan gagah supaya dapat kita melakukan amalan dengan lebih banyak . Janganlah kita menghabiskan masa dengan perkara yang tidak bermanfaat dengan menerapkan konsep IHSAN dalam kehidupan . Dengan ini , kita akan sentiasa memastikan Allah s.w.t menjadi prioriti utama dalam apa jua keadaan .

       Ayuh teman-teman , marilah jadikan cuti ini sebagai satu platform untuk kita memperbanyakkan amal ibadat ,dan menambahkan kualiti ibadat , bukanlah cuti yang menghentikan atau menghalang kita dari berjuang mencapai mardhotillah . Akhir kata , seorang muslim yang berjaya itu adalah seseorang yang hari ini lebih baik dari semalam . 

0 comments:

Post a Comment