Friday 13 December 2013

IHSAN DALAM BERMEDIA SOSIAL II



Realiti situasi pada hari ini sangat berbeza dengan zaman dahulu. Semakin hari semakin banyak perubahan di sekeliling kita dan yang paling ketara sekali ialah sikap yang ditunjukkan oleh masyarakat pada masa kini yang lebih gemar hidup bersendirian daripada bersosial dengan masyarakat. Antara faktor yang menyebabkan masalah ini ialah penggunaan gajet-gajet yang dilihat begitu berguna dan memberi manfaat dalam kehidupan seharian. Tidak dinafikan betapa pentingnya teknologi kepada manusia pada zaman ini lebih-lebih lagi teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) yang dapat membantu melancarkan urusan harian manusia . Walau apa pun,hal ini bukanlah satu masalah besar yang perlu dibanteras tetapi hanya perlu kepada penjagaan dan penelitian oleh individu tertentu agar masyarakat sentiasa menitikberatkan aspek moral ketika menggunakan teknologi tersebut.

               Sebagai muslim apa yang lebih penting untuk dicapai ialah mendapat redha Allah dalam setiap urusan yang kita lakukan tak kira dalam situasi apapun. Persoalannya, adakah bersosial melalui laman sesawang juga dikira sebagai satu perkara yang dapat mendekatkan diri kepada Allah? Jawapannya sudah tentu benar dengan  syarat  tidak melanggar dan  bertentangan dengan syariat islam. Apa maksudnya? Maksudnya tidak salah untuk kita bersosial tapi jangan sampai melakukan perkara yang dilarang oleh islam, contohnya tidak menggunakan media sosial seperti facebook untuk mencari publisiti semata-mata sebaliknya menjadikannya sebagai medium untuk berdakwah dan berkongsi segala ilmu yang ada kepada masyarakat luar sana.
             Prof dr muhayya ada mengatakan, “betapa indahnya apabila seseorang mengharapkan keredaan Allah melebihi segala-galanya  kerana pada waktu itu baginya dunia hanyalah tempat  persinggahan untuk mencari sebanyak mana bekal sebagai tiket untuk melepasi destinasi seterusnya.” Ibaratnya kita yang dalam perjalanan dari satu destinasi ke satu destinasi  lain tidak akan terfikir untuk tinggal lama di hentian rehat kerana kita tahu yang hakikat perjalanan kita bukanlah ke hentian rehat sebaliknya ke destinasi lain dan kita akan cuba sedaya upaya memikirkan cara yang terbaik untuk sampai ke sana dalam keadaan yang selamat. Begitu jugalah perjalanan hidup kita yang seringkali dinodai habuan dunia sehinggakan lalai dari mencari bahagian untuk ke akhirat. Justeru, bermedia sosial adalah salah satu langkah terbaik untuk menambahkan lagi akaun pahala kita ke syurga bahkan ia merupakan wasilah terbaik selaras dengan konsep islam yang sebenar iaitu waqi’iyyah.

           Ada juga persoalan yang timbul, bagaimana pula cara untuk berihsan dalam media sosial? Hal ini biasa berlaku kepada semua orang yang pernah berdakwah dalam media sosial tak kiralah facebook ke twitter ke yang mana kadang-kadang terlintas dalam fikiran mereka, ‘Adakah cara aku ini betul untuk dakwah orang?”, “tapi kenapa aku rasa aku buat ni sebab nak dapat perhatian orang lain”. Maka hal inilah yang menghalang seseorang daripada berlaku ihsan semasa bermedia sosial kerana ihsan itu sendiri bermaksud kebaikan iaitu kita buat sesuatu perkara seolah-olah kita lihat Allah, jika kita rasa kita tidak lihat  Allah maka yakinlah Allah melihat kita. Dalam erti kata lain kita akan sentiasa berhati-hati apabila bermedia social kerana kita yakin Allah sedang memerhatikan setiap tindak tanduk perbuatan kita yang tidak lalai dari catatan raqib dan atid dan apabila terasa diri tersasar secara automatiknya kita akan kembali memohon ampun kepadaNya.

              Antara beberapa perkara yang perlu sentiasa diingat apabila bermedia sosial ialah pertama motif kita. Persoalkan balik pada diri “Apakah tujuan aku bermedia sosial?” yang pasti seharusnya motif kita adalah untuk mencari redha Allah.

            Yang kedua, berkaitan ikhtilat. Hal ini yang seringkali diabaikan oleh masyarakat pada hari ini. Ikhtilat bukan sahaja berlaku apabila bertemu secara berhadapan tetapi boleh berlaku juga melalui laman sesawang. Hal ini kerana berapa ramai dari kalangan pengguna media social yang menyalahgunakan kemudahan berchatting sebagai medium untuk mencari jodoh. Hal ini sangat bertentangan dengan islam yang menitikberatkan nialai-nilai murni dan aspek maruah seseorang terutama bagi mereka yang bergelar wanita.
            Yang ketiga,pastikan setiap apa yang disampaikan tidak menyinggung perasaan orang lain dan sentiasa menggunakan kata-kata yang lemah lembut agar mereka mudah menerima segala nasihat dan teguran yang disampaikan.


            Yang terakhir, akhiri dengan doa kepada semua orang semoga sentiasa berada dalam landasan yang benar dan semoga berjaya dunia akhirat.

0 comments:

Post a Comment