Tuesday 31 December 2013

Ihsan Dalam Beriadah

Assalamualaikum…
Segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam,selawat dan salam ke atas nabi Muhammad S.A.W.

       Bertemu kembali kita dalam entri terbaru yang akan membawa kita meneroka dan menyelusur  secara lebih mendalam di balik tabir nilaian ihsan.Telah banyak yang telah kita temui dalam entri-entri yang lepas.Kali ini akan kita tingkatkan lagi tahap ihsan kita menerusi riadah,lantas mengaplikasikan dalam kehidupan seharian.Ramai antara kita yang tidak sedar perlunya kewujudan ihsan dalam beriadah.Kenapa?Kerana mereka tidak menganggap riadah satu aspek yang penting dalam kehidupan insani.Sedangkan riadah atau bersukan membawa impak yang besar dalam kehidupan remaja-remaja lewat era ini.Bidang ini tampak begitu popular dalam  kalangan masyarakat kini,sejajar dengan lonjakan peningkatan arena sukan negara terutama bola sepak.

KEMANISAN RIADAH DISULAM KEINDAHAN IHSAN

       Seperti yang kita sedia maklum,riadah mampu melahirkan masyarakat yang cerdas pemikiran disamping kuat fizikal,sebagaimana pepatah arab ada menyebut "akal yang sempurna ada pada badan yang sihat".Betapa pentingnya kesihatan bagi kita kerana hanya dengan kesihatan yang sempurna kita  mampu melaksanakan pengabdian dan ibadah yang kamil.Tanpa kesihatan,kemungkinan akan berlaku kepincangan atau kekurangan dalam kita melaksanakan ibadah-ibadah seperti solat,pergi menunaikan haji,menghadiri majlis ilmu dan sebagainya.Sebab itulah nabi  Muhammad S.A.W menggalakkan kita beriadah untuk melahirkan ummah yang kuat dan sihat.Sesungguhnya Rasulullah pernah bersabda mafhumnya,"mu'min yang kuat lebih baik dan disukai oleh Allah daripada mu'min yang lemah".Ini kerana hanya mu'min yang kuat mampu menggerakkan kerja-kerja dakwah islamiah,meneruskan perjuangan Rasulullah menyebarkan dan menegakkan kalimah Tauhid.

        Sabda Nabi S.A.W lagi,"nasorani as syabab" maksudnya,penolongku (dalam  perjuanganku )adalah pemuda-pemuda.Jadi ,kita sebagai pemuda pemudi islam harus menggarap peluang yang terbentang dalam lapangan riadah ini untuk mengembangkan sayap empayar islam.Sebelum pergi jauh,jom kita menyingkap kembali sunnah Nabi yang seakan dilupakan pada masa kini iaitu sukan memanah,berkuda dan berenang.Ini lah riadah yang dianjurkan Nabi kita.Sesungguhnya disebalik aktiviti ini tersirat ribuan hikmah buat sesiapa yang mempraktiskannya.Namun tidak menjadi masalah untuk mengamalkan riadah yang selain daripada itu asalkan tidak bertentangan dengan ajaran islam.Biarlah riadah kita sentiasa  berlandaskan lunas-lunas  yang digariskan syarak.

       Dari sinilah kita akan membicarakan mengenai ihsan dalam beriadah.Bila mulut menyebut ihsan,terus terbayang di minda yang kita perlu melakukan sesuatu dengan sebaik-baiknya seolah-olah kita melihat Allah,dan jika kita tidak melihat Nya,sedarlah bahawa Allah melihat segala gerak geri kita yang sembunyi atau nyata.Justeru.dalam beriadah juga kita perlu berihsan kerana boleh jadi riadah yang kita lakukan itu dinilai oleh Allah sebagai sebahagian daripada ibadah di sana kelak.

CARA BERIHSAN DALAM BERIADAH

       Yang paling penting ketika beriadah,kita perlu menjaga akhlak dan tingkah laku sesuai dengan status kita sebagai seorang mu'min.Bila kita sebagai mu'min,marilah kita menjadi kudwah(contoh) terbaik buat orang lain.Riadah bukanlah medan untuk kita bergaduh,bertengkar dan saling sumpah seranah antara satu sama lain.Malah,inilah medan untuk kita tonjolkan nilai-nilai islami ,sebarkan keindahan dan kelembutan islam.Kita harus bertolak ansur serta berlemah lembut dengan rakan-rakan ketika melakukan riadah.Sikap ini bukanlah menunjukkan kita lemah,bahkan ia melambangkan kemuliaan dan kemurnian diri insan.Menyelam sambil minum air.Begitulah diumpamakan orang yang berakhlak mulia dalam beriadah.Riadah bukan sahaja mampu menyihatkan tubuh badan,dalam masa yang sama,mereka mampu menambahkan kenalan baru disamping mengeratkan ukhuwah antara kawan.

       Selain itu,kita juga dituntut menjaga aurat ketika beriadah.Ini juga termasuk dalam bab ihsan dalam beriadah.Matlamat tidak menghalalkan cara.Jadi,apa-apa pun aktiviti riadah yang kita lakukan wajib menutup aurat dengan sempurna.Bagi lelaki,pakaian mestilah melepasi paras lutut,manakala bagi perempuan pakaiannya perlulah menutup seluruh anggota badan.Elakkan berpakaian terlalu ketat sehingga menampakkan susuk badan.Di samping itu,dalam beriadah selitkan sikap cakna terhadap kawan-kawan.Bagaimana?Praktiskan amalan saling menasihati antara sahabat.Jika kawan kita berpakaian tidak elok,bagilah nasihat membina kepadanya dengan cara berhemah.

Hukama' mengatakan "sesiapa yang menasihati saudaranya secara bersendirian,perbuatannya itu merupakan nasihat.sementara  sesiapa yang menasihati saudaranya dihadapan manusia,sesungguhnya dia telah mencelanya".Semoga redo Allah sentiasa mengiringi kita setiap masa.

       Seperkara lagi yang dipandang remeh olek kebanyakan kita ialah berkaitan masa,terutama masa kita dengan Allah.Biasanya kita beriadah selepas solat asar sehingga lewat petang.Adakalanya terlalu leka bermain sampaikan tidak sedar azan maghrib dah berkumandang,sehinggakan kita kelewatan menyempurnakan kewajipan kita terhadap Allah.

Sesungguhnya Allah tidak suka hambanya melewat-lewatkan solat,sebagaimana kita tidak suka orang yang melewati waktu perjanjian.

Jadi,untuk memghiasi diri kita dengan nilaian ihsan,kita perlu peka dengan waktu.Ambillah inisiatif berhenti beriadah atau bermain, setengah jam sebelum masuk waktu maghrib.Waktu setengah jam itu boleh digunakan untuk membersihkan diri sebagai persediaan ke masjid bagi lelaki.Inilah yang dinamakan ihsan,bilamana kita tidak mengabaikan tanggungjawab dalam keseronokan beriadah.

        Tuntasnya,dengan ihsan menjadikan segala aktiviti yang kita lakukan dikira ibadah oleh Sang Pencipta.Tidaklah riadah kita jadi sia-sia,hanya mendapat kepenatan semata-mata,malah diganjarkan Allah dengan pahala dan syurga.Sebagai hamba,itulah yang kita dambakan dan  impikan.Justeru janganlah kita mensia-siakan peluang ini.Ayuh bangkit,jadilah hamba yang cergas berminda kelas pertama dengan membawa imej islam.



0 comments:

Post a Comment