Friday 10 January 2014

IHSAN SEBAGAI PELAJAR II

Saat melangkah melangkaui sempadan dunia ke dalam alam universiti , banyak perkara yang akan berubah . Pemikiran , gaya hidup , pemakanan , pergaulan , malah perkara kecil seperti pemakaian pun turut berubah sama . Segala kenangan kanak-kanak dan muda akan bertukar menjadi dewasa saat melangkah ke alam ini .

Rahsia-rahsia alam mulai terungkai , segala apa yang dipelajari bakal disumbangkan kembali kepada masyarakat , dan segala tenaga momentum yang disimpan di alam sebelumnya bakal digunakan optimumnya di alam ini . Mata dan telinga akan mulai tajam, tidak kurang juga minda dan akal , kerana disinilah berbagai ragam dan problem dunia bakal ditempa .

Pelbagai kemahiran juga perlu , bahkan kemahiranlah yang menjamin survival-survival anak muda di alam ini , tanpanya mereka akan jatuh rebah tanpa ada sesiapa yang akan menghulurkan tangan untuk berpaut , melainkan mereka yang hidupnya biasa berjemaah bersama mereka yang mulia . Akan tetapi , tersurat disebalik kemahiran-kemahiran ini ialah sebuah elemen penting yang menjadi senjata utuh bagi mereka yang memahami , dan elemen inilah yang dikenali sebagai ilmu , dan ilmu inilah sebab utama mengapa anak-anak muda berlari-lari berlumba untuk menguasai alam ini . Inilah dia kehidupan seorang pelajar .

Pelajar, kariernya cuma belajar dan menuntut ilmu , tempatnya disediakan , makannya dihidangkan , minumannya dimaniskan , tempat tidurnya dilenakan , yang perlu pelajar buat hanyalah belajar . Namun apa yang membezakan satu dengan yang lain ialah keyakinan bahawa ilmu itu milik Allah , dan segala yang dipelajari adalah dari Allah semata-mata . Mereka yang yakin ini akan merasai kehadiran Allah dimana-mana sahaja, seolah-olah seluruh journey menuntut ilmu ini ditemani Allah dihadapan mereka, dan mereka inilah yang menjalani hidup seorang pelajar ihsan .

Ihsan merupakan perasaan bahawa Allah sentiasa ada dihadapan , atau lebih tepat menyedari bahawa Allah sentiasa melihat,mendengar dan mengetahui segala apa yang seseorang lakukan . Sebagai seorang pelajar Islam, ihsan inilah antara elemen penting dalam mengukuhkan akidah dan iman, juga membentuk peribadi dan sifat yang mulia dalam diri seseorang pelajar .

 Berlaku ihsanlah sebagai seorang pelajar , pabila menuntut ilmu , ketahuilah bahawa semua ilmu itu dari Allah dan milik Allah , ia hanya dipinjamkan kepada kita untuk digunakan di dunia ini demi kebaikan diri mahupun kebaikan masyarakat , maka janganlah menyalahgunakan ilmu-ilmu yang dipelajari , terutamanya ilmu yang melibatkan akidah , ilmu yang melibatkan maruah , ilmu yang melibatkan harta , ilmu yang melibatkan nyawa, ilmu yang melibatkan alam sekitar , dan pelbagai lagi cabang-cabang ilmu . Ketahuilah bahawa Allah Maha Melihat dan Maha Mengetahui .

  Berlaku ihsanlah ketika peperiksaan , pabila menjawab peperiksaan , pasti akan ada kesulitan yang berlaku , namun jangan sekali-kali mencuba ‘menjenguk’ jawapan sahabat yang lain , kerana walaupun satu perkataan pun yang ditiru, pastinya kesalahan yang besar, dan dosa menanti dalam buku catatan kita . Apa gunanya bersengkang mata siang malam membaca buku , tetapi akhirnya mata kita hanya digunakan untuk melihat usaha orang lain . Ketahuilah bahawa Allah Maha Melihat dan Maha Mengetahui .

  Berlaku ihsanlah ketika menggunakan masa , kerana masa itu merupakan wang kertas untuk kita membeli ilmu-ilmu yang terhidang di alam universiti ini . Janganlah berlaku zalim terhadap masa dengan mensia-siakannya , bahkan berlaku adillah terhadap diri sendiri dengan menggunakan masa sebaik-baiknya tanpa ada pembaziran . Malam adalah waktu rehat dan tidur , bukannya masa untuk melabuhkan sauh keimanan untuk belayar ke alam internet , yang merupakan salah satu punca besar pembaziran masa berlaku . Apa gunanya bersolat , bersadaqah , berpuasa andai peribadi diri runtuh seperti datang lewat ke kelas , melewat-lewatkan tugasan , atau tidak hadir ke kelas lansung dek kerana kemalasan . Ketahuilah bahawa Allah Maha Melihat dan Maha Mengetahui .

   Berlaku ihsanlah ketika dalam kelas , guru itu pembawa cahaya ilmu yang mampu menyuluh kegelapan-kegelapan atau memenuhi kekosongan-kekosongan dalam hati jiwa seorang pelajar , maka  hormatilah guru yang mengajar dan jangan biarkan apa yang dicurahkan guru itu umpama air yang melalui longkang sahaja . Tidak lupa juga hormatilah sahabat-sahabat kelas yang ingin menuntut ilmu dengan tekun , janganlah pula kita menjadi punca mereka kehilangan perhatian , lebih teruk lagi jikalau kita menyebabkan mereka terlepas elemen penting yang ingin disampaikan oleh guru . Ketahuilah bahawa Allah Maha Melihat dan Maha Mengetahui .

     Berlaku ihsanlah ketika bersahabat , jangan kerana alasan menuntut ilmu , adab berikhtilat entah dicampak ke mana . Jagalah batas-batas antara mereka yang bukan mahram , bukanlah salah untuk bergaul dengan mereka, tetapi gunalah akal gunalah minda agar tidak timbul fitnah atas diri sendiri . Hormatilah juga sahabat handai seperti roommate , classmate , dan rakan-rakan lain , kerana mereka inilah yang saya maksudkan mampu menghulurkan tangan pabila kita berpaut ditepi gaung pada dahan yang entah berapa lama tahan atau kuatnya kelak . Janganlah pula mengumpat atau menfitnah mereka , walaupun tanpa mereka sedari , kerana Allah itu ada dihadapan kita , ketahuilah bahawa Allah Maha Melihat dan Maha Mengetahui .

      Akhir kalam , sedikit sebanyak yang mampu dipelajari , tetap sesuatu yang dipelajari . Ambil iktibar dari yang buruk , dan gunakan apa yang diperoleh dari yang baik . Mereka yang berjaya ialah mereka yang tahu cara untuk berjaya , dan senantiasa menyusuri liku-liku kejayaan itu , biar jerih atau perit mana pun denai yang dilalui .

Assalamualaikum .



0 comments:

Post a Comment