Monday, 24 February 2014

AURA SEKUNTUM SENYUMAN

Indahnya senyuman ibarat bunga mawar yang  segar dan mekar. Betapa hebat kuasa senyuman sehingga mampu meruntuhkan amarah yang bergelora. Diibaratkan senyuman itu umpama malam yang mendinginkan alam. Definisi senyuman sukar untuk diungkapkan kerana ianya satu kejadian.

                Sedarkah kita di setiap jalinan persahabatan berakar umbikan senyuman yang kemudian dikuti dengan salam dan sapaan. Sesungguhnya senyuman merupakan tali pengikat kepada permulaan pertemuan. Tidak menjadi satu kesalahan andainya hidup mengukir senyuman kerana, daripada Abdullah Bin Al Harits Jaz’i R.A berkata:”aku tidak pernah melihat seseorang yang paling banyak senyuman selain Rasulullah”.( Hadis Riwayat Tirmidzi). Ini menjadi daya jolokan yang mampu mendorong kita sebagai muslim untuk senantiasa mempraktikkan amalan senyum.

                Tetapi,meskipun senyuman merupakan amalan yang mudah dan ringan, masih tersisa golongan yang bermuka tegas tanpa senyuman. Rasulullah S.A.W bersabda “ jangan sesekali engkau menganggap remeh sutu perbuatan baik meskipun  dengan engkau menjumpai saudaramu dengan wajah ceria”. Nabi sendiri enggan umatnya berwajah cuka. Allah S.W.T  juga menegur kekasihnya Nabi Muhammad  S.W.T tatkala mana baginda bermasam muka dengan menurunkan ayat quran dari Surah A’basa Ayat 1. Ayat ini mengajarkan kita bahawa, janganlah memandang seseorang dengan bermasam muka.

                Persoalannya, mengapa sukar mengukir senyuman padahal ianya merupakan salah satu penawar kepada masalah yang berselirat dan kesedihan yang melarat. Amalan senyum dapat melahirkan bia’h solehah dan tanpa disedari , dengan senyuman, kita mampu membuat orang menyenangi kita. Dari Abu Dzar, dia berkata Rasulullah S.A.W bersabda: “senyumanmu dihadapan saudaramu adalah sedekah bagimu.(Hadis Riwayat Tirmidzi dan Ibni Hibbah).

                Besar pengaruh senyuman dalam kehidupan . Hidup orang yang menghidupkan senyuman adalah lebih baik jika dibandingkan dengan orang yang tidak mengamalkannya. Senyumlah andai tidak mampu untuk berkata. Sebarkan senyuman, sebarkan aura keimanan.


Dengan senyuman bertambah kenalan,
Lebarkan senyuman tanpa segan,
Mengapa perlu bermuka masam,
Takut mengundang hati yang kelam.




0 comments:

Post a Comment