Saat melangkah
melangkaui sempadan dunia ke dalam alam universiti , banyak perkara yang akan
berubah . Pemikiran , gaya hidup , pemakanan , pergaulan , malah perkara kecil
seperti pemakaian pun turut berubah sama . Segala kenangan kanak-kanak dan muda
akan bertukar menjadi dewasa saat melangkah ke alam ini .
Rahsia-rahsia
alam mulai terungkai , segala apa yang dipelajari bakal disumbangkan kembali
kepada masyarakat , dan segala tenaga momentum yang disimpan di alam sebelumnya
bakal digunakan optimumnya di alam ini . Mata dan telinga akan mulai tajam,
tidak kurang juga minda dan akal , kerana disinilah berbagai ragam dan problem
dunia bakal ditempa .
Pelbagai
kemahiran juga perlu , bahkan kemahiranlah yang menjamin survival-survival anak
muda di alam ini , tanpanya mereka akan jatuh rebah tanpa ada sesiapa yang akan
menghulurkan tangan untuk berpaut , melainkan mereka yang hidupnya biasa
berjemaah bersama mereka yang mulia . Akan tetapi , tersurat disebalik
kemahiran-kemahiran ini ialah sebuah elemen penting yang menjadi senjata utuh
bagi mereka yang memahami , dan elemen inilah yang dikenali sebagai ilmu , dan
ilmu inilah sebab utama mengapa anak-anak muda berlari-lari berlumba untuk
menguasai alam ini . Inilah dia kehidupan seorang pelajar .
Pelajar, kariernya
cuma belajar dan menuntut ilmu , tempatnya disediakan , makannya dihidangkan ,
minumannya dimaniskan , tempat tidurnya dilenakan , yang perlu pelajar buat
hanyalah belajar . Namun apa yang membezakan satu dengan yang lain ialah
keyakinan bahawa ilmu itu milik Allah , dan segala yang dipelajari adalah dari
Allah semata-mata . Mereka yang yakin ini akan merasai kehadiran Allah
dimana-mana sahaja, seolah-olah seluruh journey menuntut ilmu ini ditemani
Allah dihadapan mereka, dan mereka inilah yang menjalani hidup seorang pelajar
ihsan .
Ihsan merupakan
perasaan bahawa Allah sentiasa ada dihadapan , atau lebih tepat menyedari
bahawa Allah sentiasa melihat,mendengar dan mengetahui segala apa yang
seseorang lakukan . Sebagai seorang pelajar Islam, ihsan inilah antara elemen
penting dalam mengukuhkan akidah dan iman, juga membentuk peribadi dan sifat
yang mulia dalam diri seseorang pelajar .
Berlaku
ihsanlah sebagai seorang pelajar , pabila menuntut ilmu , ketahuilah bahawa
semua ilmu itu dari Allah dan milik Allah , ia hanya dipinjamkan kepada kita
untuk digunakan di dunia ini demi kebaikan diri mahupun kebaikan masyarakat ,
maka janganlah menyalahgunakan ilmu-ilmu yang dipelajari , terutamanya ilmu
yang melibatkan akidah , ilmu yang melibatkan maruah , ilmu yang melibatkan
harta , ilmu yang melibatkan nyawa, ilmu yang melibatkan alam sekitar , dan
pelbagai lagi cabang-cabang ilmu . Ketahuilah bahawa Allah Maha Melihat dan
Maha Mengetahui .
Berlaku
ihsanlah ketika peperiksaan , pabila menjawab peperiksaan , pasti akan ada
kesulitan yang berlaku , namun jangan sekali-kali mencuba ‘menjenguk’ jawapan
sahabat yang lain , kerana walaupun satu perkataan pun yang ditiru, pastinya
kesalahan yang besar, dan dosa menanti dalam buku catatan kita . Apa gunanya
bersengkang mata siang malam membaca buku , tetapi akhirnya mata kita hanya
digunakan untuk melihat usaha orang lain . Ketahuilah bahawa Allah Maha Melihat
dan Maha Mengetahui .
Berlaku
ihsanlah ketika menggunakan masa , kerana masa itu merupakan wang kertas untuk
kita membeli ilmu-ilmu yang terhidang di alam universiti ini . Janganlah
berlaku zalim terhadap masa dengan mensia-siakannya , bahkan berlaku adillah
terhadap diri sendiri dengan menggunakan masa sebaik-baiknya tanpa ada
pembaziran . Malam adalah waktu rehat dan tidur , bukannya masa untuk
melabuhkan sauh keimanan untuk belayar ke alam internet , yang merupakan salah
satu punca besar pembaziran masa berlaku . Apa gunanya bersolat , bersadaqah ,
berpuasa andai peribadi diri runtuh seperti datang lewat ke kelas ,
melewat-lewatkan tugasan , atau tidak hadir ke kelas lansung dek kerana
kemalasan . Ketahuilah bahawa Allah Maha Melihat dan Maha Mengetahui .
Berlaku
ihsanlah ketika dalam kelas , guru itu pembawa cahaya ilmu yang mampu menyuluh
kegelapan-kegelapan atau memenuhi kekosongan-kekosongan dalam hati jiwa seorang
pelajar , maka hormatilah guru yang
mengajar dan jangan biarkan apa yang dicurahkan guru itu umpama air yang
melalui longkang sahaja . Tidak lupa juga hormatilah
sahabat-sahabat kelas yang ingin menuntut ilmu dengan tekun , janganlah pula
kita menjadi punca mereka kehilangan perhatian , lebih teruk lagi jikalau kita
menyebabkan mereka terlepas elemen penting yang ingin disampaikan oleh guru .
Ketahuilah bahawa Allah Maha Melihat dan Maha Mengetahui .
Berlaku
ihsanlah ketika bersahabat , jangan kerana alasan menuntut ilmu , adab
berikhtilat entah dicampak ke mana . Jagalah batas-batas antara mereka yang
bukan mahram , bukanlah salah untuk bergaul dengan mereka, tetapi gunalah akal
gunalah minda agar tidak timbul fitnah atas diri sendiri . Hormatilah juga
sahabat handai seperti roommate , classmate , dan rakan-rakan lain , kerana
mereka inilah yang saya maksudkan mampu menghulurkan tangan pabila kita berpaut
ditepi gaung pada dahan yang entah berapa lama tahan atau kuatnya kelak .
Janganlah pula mengumpat atau menfitnah mereka , walaupun tanpa mereka sedari ,
kerana Allah itu ada dihadapan kita , ketahuilah bahawa Allah Maha Melihat dan
Maha Mengetahui .
Akhir
kalam , sedikit sebanyak yang mampu dipelajari , tetap sesuatu yang dipelajari
. Ambil iktibar dari yang buruk , dan gunakan apa yang diperoleh dari yang baik
. Mereka yang berjaya ialah mereka yang tahu cara untuk berjaya , dan
senantiasa menyusuri liku-liku kejayaan itu , biar jerih atau perit mana pun
denai yang dilalui .
Assalamualaikum
.
0 comments:
Post a Comment