Friday, 6 December 2013

Ihsan Dalam Berkeluarga


Seronoknya kalau semua perkara dulu berulang kembali. Zaman kecil-kecil dahulu, ikatan kasih sayang antara kami adik beradik sangat erat bagai tali yang diikat mati yang tidak akan terungkai selamanya. Banyak perkara yang kami lakukan bersama-sama. Kami bermain, makan, menangis , ketawa, tidur, kena marah semuanya sekali. Bersama-sama kami berasa sangat kuat dan hebat.

Tapi, sekarang ini kami semua sudah dewasa dan aku sedang melanjutkan pelajaran di kota. Semua perkara dulu hanya tinggal kenangan. Ikatan persaudaraan antara kami sudah mulai renggang. Pertemuan kami adik beradik selalu berakhir dengan perbalahan. Ada sahaja perkara yang kami tidak sependapat.

Tiba-tiba aku berfikir sejenak. Mengapa kami tidak seperti zaman 20 tahun dulu yang tiada teknologi canggih seperti zaman sekarang? Apakah yang telah ibu ayahku lakukan sehingga kami dapat hidup bahagia dan harmoni dulu?  Aku sangat yakin ada sesuatu yang ibu bapaku telah lakukan untuk mengikat hati kami sekeluarga dulu.

Suatu hari, aku telah pulang ke rumahku di kampung. Aku segera melangkah kakiku menuju ke kamar ibu dan aku terus memeluk ibuku. Tanpa banyak bicara, aku terus bertanya pada ibuku tentang bagaimana ibu dapat membahagiakan kami semua.
Ibu tidak terus menjawab soalanku dan dia menyuruhku tunggu sehingga keesokan harinya.


***

Hari ini, seperti yang dijanjikan ibu akan ceritakan kepadaku apakah rahsia di sebalik kebahagiaan kami. Seperti biasa ibuku kalau bercakap suka berpuisi. Ibuku telah memulakan bicaranya dengan bait-bait puisi nan indah.

Ihsan
Itulah yang menjadi ikatan insan
Tidak kira masa ataupun zaman
Ia tetap dapat bertahan
Mendidik serta beri panduan
Tidak akan luput ditelan zaman
Itulah dia Ihsan yang tertanam
Dalam jiwa seorang insan

           “Wahai anakku. Kalau kamu nak tahu. ‘ Ihsan’lah yang telah mengikat jiwa kamu semua adik-beradik. Ayah kamu mengamalkan ihsan dalam berkeluarga.,“ terang ibuku.

Kemudian, ibu bercerita lagi. “ihsan dalam keluarga ini bermaksud, setiap perkara yang kamu lakukan kamu mesti mengutamakan keluarga terlebih dahulu. Jika kamu sudah berkeluarga nanti kamu akan lebih memahami konsep ihsan ini.”

“Apakah konsep ihsan ini juga dapat membentuk akhlak kami secara tidak langsung?” Aku bertanya ibu.
Ibu segera melontarkan kata-katanya. Katanya, sesiapa yang berakhlak mulia sudah semestinya ada nilai ihsan dalam dirinya. Apa tidaknya, dengan konsep ihsan ini, kami semua dibimbing dengan ilmu agama yang sangat sempurna. Semua perkara yang kami lakukan akan dinilai disisi Allah . Kami juga dididik bahawa Allah sentiasa memerhatikan kami. Jadi kami semua akan berfikir dua kali sebelum melakukan sesuatu perkara yang tidak baik.

Setelah mendengar penjelasan itu, aku mengangguk beberapa kali bagi mengiakan kata-kata ibuku dan aku seraya bertanya,”bagaimana pula konsep ihsan yang diamalkan oleh ibu dapat memastikan kami semua bersatu dan tidak berpecah belah seperti kami dulu?”
“Kalau kamu nak tahu, konsep ihsan dalam keluarga ini dapat membentuk akhlak mulia. Apa tidaknya? Sekiranya kamu sentiasa berasa yang Allah memerhatikan kamu, kamu tidak akan berani melakukan perkara yang terlarang. Jika akhlak mulia dalam diri kamu sudah terbentuk, maka tali persaudaraan antara kamu adik beradik juga terjalin dan itulah yang membuatkan kamu tidak berpecah belah.” terang ibu dengan panjang lebar.

Mendengar ibu sangat mementingkan persaudaraan kami sekeluarga melalui konsep ‘ihsan’nya, aku teringat kata-kata Syed Qutb yang berbunyi

Persaudaraan adalah mukjizat
Wadah yang paling berikatan
Dengannya Allah persatukan
hati-hati yang berselerakan saling bersaudara
saling merendah lagi memahami
saling mencintai dan saling berlembut hati.

Memang benarlah kata-kata ibu kerana persaudaraan kami yang terjalin sangat indah sehingga tiada tolok bandingnya.

Aku juga terfikir. Aku sangat yakin bahawa ihsan dalam berkeluarga jugalah yang dapat menangkis gejala sosial yang semakin menular masa kini. Banyak keluarga zaman sekarang sangat mementingkan kekayaan dan mengejar dunia semata-mata sehingga keluarga sendiri sanggup dibiarkan. Anak-anak perlu dididik dengan ihsan ibu dan ayah agar mereka membesar menjadi insan yang berguna kepada masyarakat. Jika mereka disemai dengan sifat ihsan dalam diri mereka, mereka menjadi insan yang sangat berpengaruh dalam masyarakat kerana dengan ihsan mereka tampil lebih yakin dan mampu menjadi ‘role model’ kepada masyarakat setempat. Jika konsep ihsan ini diamalkan oleh setiap keluarga di dunia ini, tidak mustahil umat Islam akan memerintah dunia kerana sesuatu yang besar pasti bermula dengan sesuatu yang kecil.

Agak lama ibuku mendiamkan diri , akhirnya dia kembali berbicara. Menurutnya, melalui ihsan yang tersemai dalam sesebuah keluarga juga dapat menjadikan ahli keluarganya sentiasa bersyukur dan redha dengan apa yang dimilikinya. Hal ini kerana, mereka sentiasa merasakan bahawa kenikmatan yang bertandang merupakan anugerah Allah yang tidak ternilai dan pasti ada orang lain yang mungkin tidak mendapat kenikmatan seperti itu.
Setelah hampir dua jam bersembang dengan ibuku, aku berhenti untuk solat dhuha.

Selesai solat dhuha, fikiranku kembali teringatkan peristiwa manis antara kami sekeluarga. Sedang aku melayan perasaan, tiba-tiba aku terdengar bunyi kereta sedang masuk ke halaman rumahku.

“Siapakah agaknya?” aku tertanya-tanya. Aku bingkas bangun untuk tengok siapakah yang bertandang ke rumah ini melalui jendela dan alangkah gembiranya hatiku apabila melihat kakak dan abangku keluar dari kereta mereka masing-masing. Ibuku menangis kerana terlalu gembira dengan kepulangan anak-anaknya.

Betullah sangkaan aku selama ini bahawa kami semua akan kembali bersatu kerana ikatan Ihsan yang ibu bapa kami telah tanamkan dalam jiwa kami sejak kecil tidak akan putus begitu sahaja.

Terima kasih ya Allah kerana telah mencurahkan sedikit daripada ihsanMu kepada kami sekeluarga.

0 comments:

Post a Comment