‘Sahabatku akan ku teruskan perjuangan ini,,,walau ku
tahu kau tiada di sisi….’
Buku diari berwarna ungu itu ditutup.
Setitis air mata jernih mula singgah di atas permukaan kulit buku itu.
Pandangannya dihalakan jauh ketengah padang. Sekumpulan pelajar muslimat yang
sedang lincah bermain bola jaring langsung tidak menarik perhatiannya. Mindanya
hanya fokus kepada seseorang yang sangat yang dirindui. Makin lama air mata itu
mula membasahi pipinya.
“assalamualaikum, Kinah tengah buat apa ni?” tegur Khaulah. Teguran Khaulah
membuatkan Sakinah cepat-cepat menyeka air matanya.
“waalaikumussalam, Khaulah,” jawab Sakinah ringkas. Dasar di sudut hati Khaulah,
dia tahu sahabatnya itu sedang menangis. Perlahan-lahan Khaulah melabuhkan punggungnya
di sebelah Sakinah. Bahu Sakinah dipeluk erat lalu meraih tangannya. Erat genggaman
itu.
“Kinah,ada apa-apa masalah enti yang ana tak tau?” soal Khaulah lembut.
Jemari Sakinah diramas perlahan. Matanya melirik ke arah wajah Sakinah yang
sudah kemerahan kesan daripada menangis. Sakinah mengukir senyuman.
“tak ada apa-apalah enti. Ana okey. Cuma semenjak ini ana selalu teringatkan
seseorang yang telah tiada,” ujar Sakinah sebak lalu air matanya menitis lagi.
“banyak ingat Allah ye enti. Emm, ceritalah kepada ana. Kalau boleh ana nak
berkongsi kesedihan enti,” pinta Khaulah sambil matanya merenung tepat ke arah anak
mata Sakinah. Sakinah menarik nafas panjang. Dia berasa sangat terharu dengan
kata-kata Khaulah. Beruntungnya aku memiliki sahabat seperti Khaulah ni,detik hati
kecil Sakinah memuji sahabatnya.
Sakinah masih mendiamkan diri. Bibirnya sudah mula menguntum senyuman.
Barangkali teringat nostalgia silam yang tak pernah luntur dalam memorinya.
Seseorang yang begitu istimewa itu sentiasa tersemat kemas dalam hatinya. Walau
ke mana sahaja dia melangkah, bayang-bayang ‘insan teristimewa’ itu sentiasa
mengekorinya, ibarat matahari dan rembulan, biarpun tidak pernah hadir bersama,
namun tetap membiaskan bayang-bayang di atas muka bumi ini. SubhanAllah.
Luasnya hikmah ciptaan Allah.
“panjang ceritanya, Khaulah. Jika Allah tidak hadirkan dia dalam hidup
ana, mesti ana bukanlah seperti Sakinah yang berada di hadapan enti sekarang,”
ujar Sakinah. Mendengarkan itu, Khaulah semakin teruja untuk terus mendengar
kisah hidup Sakinah. Maklumlah, mereka baru sahaja berkenal-kenalan tak sampai
setahun. Sudah pastinya banyak kisah antara mereka yang masih tidak diketahui.
Senja sudah mula menampakkan dirinya. Sebentar lagi azan maghrib akan
berkumandang. Keadaan padang yang tadinya gamat dengan suara kini sudah mula
sunyi. Musolla mahallah Aisyah sudah mula berpenghuni. Kedengaran suara-suara
indah sedang mengalunkan kalamullah, berzikir dan tak kurang juga ada yang
membentuk halaqah kecil berbicara soal agama. SubhanAllah, indahnya hidup
bertarbiyah seperti ini !
********************************
KAMPUNG DUSUN
Pak samad sedang
duduk di atas kerusi malas sambil menghisap rokok daun. Jam sudah menunjukkan
pukul 2 pagi. Ketika itu Sakinah baru sahaja sampai ke rumah. Dia membuka pintu
dengan berhati-hati tanpa mengeluarkan sebarang bunyi. Awal-awal lagi Sakinah
sudah memaklumkan kepada adiknya Najihah supaya tidak mengunci pintu.
Kebiasaannya, pukul 10 malam pasti abahnya, Pak Samad dan ibunya, Mak Senah
sudah tidur.
“kenapa lewat sangat angah balik? Dah pukul 2 pagi baru nampak jalan
balik rumah ke?” pak Samad tiba-tiba bersuara. Nadanya agak sinis. Sakinah yang
baru sahaja menutup pintu hampir terlompat dibuatnya dek sergahan mengejut pak
Samad.
“err, angah jumpa kawan kejap tadi. Abah kenapa tak tidur lagi?” jantung
Sakinah berdegup kencang tatkala melihat renungan mata abahnya yang agak tajam
seolah-olah mahu menerkamnya bila-bila masa sahaja. Urat-urat hijau sudah mula
timbul di dahi pak Samad. Sedang menahan
marah barangkali.
“dah lama angah buat kerja ni?” soal pak Samad. Dia bingkas bangun dari
kerusi malasnya lalu menuju ke jendela. Papan jendela itu dikuak sedikit. Jelas
terasa kedinginan angin nan pagi menyapa wajahnya yang telah dimamah usia itu.
“kerja apa bah? Apa yang angah dah buat? Angah tak fahamlah bah, “ wajahnya
sedikit berkerut barangkali tidak faham apa yang ingin dimaksudkan oleh
abahnya. Pak Samad memalingkan wajahnya ke arah Sakinah. Giginya diketap kuat.
“angah tanya abah balik apa yang angah dah buat? Orang kampung semua dah
mengata pasal angah. Berkawan dengan mat rempit, ponteng kelas tambahan,
sekarang dah pandai balik rumah lewat. Apa nak jadi dengan angah ni ha? “ wajah
pak Samad garang. Pak Samad memang sangat terkenal dengan sikap panas barannya
itu. Pantang kesabarannya diuji, habis semua orang disemburnya.
“alah, macamlah angah sorang je yang buat semua tu. Ramai lagi yang buat
benda tu semua tapi mak ayah mereka tak kisah pun. Yang abah nak marah-marah
angah ni kenapa? Dah la bah, angah dah mengantuk,” Sakinah pantas menjawab.
Baru sahaja kakinya ingin melangkah ke bilik, tubuhnya pantas ditarik duduk di
atas sofa. Kali ini kemarahan pak Samad tak dapat dibendung lagi.
“hei, angah jangan nak kurang ajar dengan abah. Abah belum habis cakap
lagi dengan angah. Minggu depan abah akan hantar angah ke sekolah agama. Dan
mulai esok, abah nak angah uruskan perpindahan sekolah, faham? “ ujar pak Samad
tegas. Terbeliak mata Sakinah mendengarnya. Sekolah agama?
“kejap bah? Apa? Sekolah agama? Kenapa pulak angah kena pindah sekolah
agama? Tak mungkin bah. Tak mungkin angah akan tinggalkan kawan-kawan angah,
pelajaran angah semua. Angah tak nak ! “ Sakinah membentak keras. Sejujurnya
dia sendiri tak pernah teringin nak bersekolah di sekolah agama.
“abah buat semua ni biar angah ni jadi orang. Lagipun, belajar di
sekolah agama kan bagus?” kata pak Samad. Hati Sakinah sudah mula tidak
tenteram. Sebolehnya dia tak nak masuk sekolah agama. Namun dia tahu tiada
siapa yang berani membangkang keputusan abahnya.
“tengoklah dulu abah. Malas angah nak fikir pasal ni. Tapi tak bermakna
angah akan dengar cakap abah. Ok lah angah dah mengantuk,” kaki Sakinah laju
melangkah ke bilik barangkali tidak mahu melayan abahnya lagi. Pak Samad hanya
mampu menggelengkan kepalanya. Antara keempat-empat orang anaknya, Sakinahlah
yang paling degil dan keras hatinya. Sebab itulah pak Samad ingin menghantar
Sakinah ke sekolah agama agar peribadinya berubah. Dia tidak mahu usia remaja
Sakinah rosak.
********************************
SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN TANJUNG DUSUN
“kinah, kau ni kenapa? Semalam ok je aku tengok. Pelik juga aku tiba-tiba
pagi tadi muka kau masam je,” tegur Suraya, kawan baik Sakinah.
Sakinah menarik wajah masam. Sungguh dia tiada mood pada hari itu.
Semuanya gara-gara pak Samad yang memaksanya ke sekolah agama. Jika tidak
diturutkan kehendak ayahnya, alamatnya telinganya akan cair mendengar bebelan
yang tak henti. Namun, Sakinah tak suka belajar di sekolah agama, dia tidak
mahu kehidupannya dikongkong. Aaaaaaarrrrggggghhh !! jeritan kecilnya itu jelas
didengari oleh Suraya.
“Kinah, cuba kau cerita kat aku apa masalah kau sebenarnya ni?” soal
Suraya. Dia menarik kerusi duduk di sebelah Sakinah. Sakinah meraup wajahnya.
Perlahan-lahan dia memandang wajah Suraya yang bertentangan dengannya. Tidak
semena-mena setitis air jernih mengalir di pipinya. Suraya dipeluknya erat.
“Suuu !! aku sayang kau,” akhirnya Sakinah tidak dapat membendung
perasaan sedihnya. Di atas bahu Suraya dilepaskan segala rasa yang terbuku di
hati. Suraya mengusap perlahan belakang Sakinah. Hatinya meronta-ronta ingin
tahu mengapa Sakinah bersedih sedemikian rupa. Namun ditahan keinginannya
dahulu. Dia berusaha menenangkan Sakinah. Selang beberapa minit, barulah
Sakinah mengangkat wajahnya. Wajahnya yang cerah itu sudah kemerahan.
“Kinah kenapa? Kau ok tak ni?” soal Suraya. Sakinah menggenggam jemari
Suraya erat.
“Su, minggu ni minggu terakhir aku sekolah kat sini. Sebab aku…aku…” betapa
sukar Sakinah meluahkan rasa yang tak sanggup untuk dilafazkannya.
“sebab? Sebab apa kinah?” semangat ingin tahu Suraya melonjak kuat.
“aku…….akan sekolah kat tempat lain. Ayah aku akan hantar aku kat
sekolah agama, Su. Kau tau kan aku tak nak ! aku tak nak !” jelas tertekan
wajah Sakinah ketika itu. Terlopong mulut Suraya mendengarnya.
“hah? Kenapa kau tak tolak? Kau tau kan kita dah janji kita akan ambil SPM
sama-sama. Lepas tu sambung pelajaran sama-sama ke Australia. Kinah ! dah lupa
ke semua tu?”bagai nak pecah dada Suraya tatkala menerima berita buruk itu.
“aku nak tolak macam mana Su? Kau tau kan ayah aku tu panas baran. Aku
dah malas nak bertekak lagi. Su, aku tak pernah lupa janji kita. Mana mungkin
aku lupa Su. Sekarang ni aku dah buntu. Tak pernah terlintas kat fikiran aku
apatah lagi dalam hati ni pasal sekolah agama.” Kedengaran sendu di penghujung
kata-kata Sakinah. Lama mereka terdiam melayan perasaan masing-masing. Sedih,
geram dan kecewa semuanya bercampur baur menjadi satu.
*******************************
SEKOLAH AGAMA TUAN HAJI HASSAN SAIL
Udara sungguh nyaman petang itu
ditambah pula dengan tumbuhan yang menghijau sungguh mendamaikan bagi hati-hati
yang mendambakan ketenangan. Sakinah sedang berehat di dalam dorm petang itu.
Sudah seminggu dia berpindah ke sekolah agama dan sehingga ke hari itu hatinya
tidak pernah bahagia. Dia lebih suka menyendiri daripada bercampur dengan
pelajar lain. Begitu keras hatinya.
“assalamualaikum Sakinah. Awak tak nak jalan-jalan kat luar ke? Best tau
bila dapat hirup udara segar,” lembut sapaan Izzah. Izzah salah seorang ahli
dorm Sakinah, katilnya cuma terletak berhadapan dengan katil Sakinah.
Sebenarnya Izzah dah lama memerhatikan tingkah laku Sakinah yang begitu dingin
dengan orang lain semenjak dia berpindah ke situ. Bila diajak berbual, dia
hanya diam. Bila diajak keluar, alasannya cuma satu iaitu tiada mood.
Sehinggakan banyak mulut yang sudah mengata mengenai sikap Sakinah yang
dianggap agak sombong itu. Namun Izzah tidak menganggapnya begitu, dia tahu ada
sesuatu yang Sakinah cuba sembunyikan. Sebab itulah Izzah cuba mendekati
Sakinah tanpa jemu.
Seperti biasa, Sakinah masih setia dengan sikap berdiam dirinya itu.
Baginya, di situ bukanlah tempat yang bahagia untuknya. Adakalanya perasaan
rindu yang membuak-buak terhadap Suraya dan temannya yang lain mengundang pedih
di hatinya. Menitis air matanya bila mendengar suara orang bermain di padang,
mendengar hilai tawa mereka telah mengundang nostalgia silam dalam memorinya.
Sungguh dia rindu.
“Sakinah, awak dengar tak saya cakap apa tadi?” soal Izzah. Matanya
redup memandang wajah Sakinah. Jelas wajahnya tampak begitu suram.
“aku dengar. Tapi aku takde mood nak keluar. Kau pergilah !” balas
Sakinah.
“Sakinah, jom saya bawa awak jalan-jalan kat kolam ikan belakang blok A
tu. Cantik tau. Rugi awak tak tengok. Melihat ciptaan Allah ni satu ibadah tau.
Jom lah Sakinah. Please sekali ni je. Jom ya !” beriya-iya suara Izzah memujuk.
Entah mengapa bagaikan ada perasaan yang menarik hatinya untuk ke tempat itu.
Akhirnya Sakinah menganggukkan kepalanya tanda setuju. Hati Izzah berbunga
riang.
Setibanya mereka tiba di kolam ikan itu, Sakinah amat teruja menyaksikan
keindahan alam ciptaan Tuhan. subhanAllah. Terus dia meniti jambatan di atas
kolam itu sambil tersenyum gembira. Melihat ikan yang berenang dan mendengar
burung berkicauan, Allahuakbar ! sungguh mendamaikan.
“errr, Izzah, aku..ehh saya, sebenarnya nak tanya satu soalan ni,
boleh?” Sakinah tidak tahu ingin membahasakan dirinya apa. Pertama kali Sakinah
menunjukkan respon positif terhadap penghuni sekolah agama itu dan menyebabkan
dia agak sedikit kekok. Gaya pakaian Izzah persis seorang ustazah, perwatakannya
lembut dan kata-katanya sungguh indah didengar. Adakalanya Sakinah berasa tidak
layak untuk berdamping dengan orang sebaik itu.
Izzah melemparkan senyuman kepada Sakinah. Ikhlas.
“ya, apa dia?”
“kenapa awak nak berkawan dengan saya? Ye la, orang semua kata saya
sombong. Tapi awak masih nak berkawan dengan saya,”
“Sakinah, biarlah seribu orang yang kata awak macam tu, saya takkan
anggap awak seperti yang mereka katakan. Saya tahu, awak masih tak biasa dengan
suasana kat sekolah agama ni. Saya tak nak awak fikir budak sekolah agama ni
hanya nak berkawan dengan orang yang baik-baik je. Sedangkan setiap muslim itu
bersaudara,”
“awak ni terlalu baik Izzah. Saya nak sangat jadi macam awak tapi saya
ni terlalu banyak kekurangan. Saya ni tak layak,”
“ Sakinah, awak jangan cakap macam tu. Kalau semua orang kata diri
mereka tak layak nescaya takkan ada dakwah atas muka bumi ni. Dalam surah ar
Ra’d ayat 11, Allah berfirman ‘sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan
suatu kaum sebelum mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri’. Semuanya
terpulang pada diri dan niat awak Sakinah. Jika benar-benar awak ingin berubah,
mohonlah pertolongan dan kekuatan dari Allah, Dia pasti akan membantu,”
Allah does
not judge you on how bad you have been in the past,
But rather on
how good you strive to be now….
Kata-kata
terakhir yang terlafaz dari mulut Izzah bagaikan menusuk tangkai hatinya.
Hatinya sungguh damai dan tenang setenang maksud namanya yang indah iaitu Nur Sakinah
(cahaya ketenangan).
**************************
Hari demi hari, minggu berganti
minggu berlalu begitu pantas bagaikan roda yang ligat berputar laju. Hampir
setahun Sakinah bersekolah di sekolah agama Tuan Haji Hassan Sail. Jalinan
ukhwah yang dibina bersama pelajar sekolah agama itu semakin bertaut erat
terutamanya sahabatnya Izzah. Sahabat yang sentiasa setia memberikan kata-kata
sokongan dan semangat tanpa jemu.
“Sebaik baik sahabat disisi Allah ialah
orang yang terbaik terhadap temannya dan sebaik baik jiran disisi Allah ialah
orang yang terbaik terhadap jirannya” (H.R al-Hakim)
‘Teman yang paling baik adalah apabila
kamu melihat wajahnya, kamu teringat akan Allah, mendengar kata-katanya
menambahkan ilmu agama, melihat gerak-gerinya teringat mati..’
**************************
Pagi itu cuaca
mendung menunjukkan tanda-tanda hujan bakal turun. Sedari tadi Sakinah tidak nampak
kelibat Izzah. Usai solat Subuh pagi tadi, kata Izzah dia ingin berehat di
musolla. Wajahnya sungguh pucat sejak tiga hari yang lalu. Sakinah agak risau
dengan kesihatan Izzah yang tidak menentu. Katanya cuma demam. Tambahan pula
pagi itu Sakinah ada peperiksaan, Izzah tidak mahu menyusahkan Sakinah. Kertas
peperiksaan Izzah sudah berlalu semalam. Ini bermakna mereka bakal meninggalkan
Sekolah Agama Tuan Haji Hassan Sail dan selepas ini mereka akan membawa haluan
masing-masing dengan takdirNya.
‘Alhamdulillah,
syukur. Moga natijahnya baik sahaja seiring dengan doa dan usahaku’ doa Sakinah
dalam hati.
Terbayang-bayang
di matanya wajah Izzah yang menantinya selesai daripada menduduki peperiksaan.
Tidak sabar hatinya ingin bertemu dengan sahabat yang amat disayangi kerana
Allah. Hanya kalimah syukur yang terbit di bibirnya atas kurniaan yang tiada
nilainya iaitu SAHABAT SEJATI. Alhamdulillah, terima kasih ya Allah atas kesempatan
ini, bisiknya di dalam hati.
Bagaikan mencari sebiji benih, terselit
dalam semak berduri
Begitulah mencari SAHABAT SEJATI
Andai sudah engkau temui
SAYANGILAH dirinya sepenuh HATI
Dan suburilah ia dengan hati yang IKHLAS
dalam diri
Agar dirimu juga menemui cinta ILAHI
Setibanya
Sakinah di dalam dorm, dia melihat Izzah sedang tidur. Pelik juga kerana Izzah
tak pernah tidur pukul sepuluh pagi. Biasanya waktu sebegini Izzah sudah berada
di musolla untuk menunaikan solat dhuha. Perlahan-lahan sakinah menghampiri
katil Izzah, wajah lembut itu direnung. Wajahnya kepenatan, tidak sampai hati
pula Sakinah inginmengejutkannya. Akhirnya, Sakinah membiarkan Izzah tidur,
lalu dia berlalu ke arah katilnya pula.
“sakinah…..sakinah…….”
terdengar suara perlahan memangil namanya. Sakinah membuka matanya. Entah bila
dia terlelap pun dia tidak sedar. Jam sudah menunjukkan 12 tengah hari. Cuaca
masih mendung, gerimis halus sudah mula membasahi hamparan bumi Allah.
“sakinah,
saya sayang awak !” ujar Izzah namun wajahnya muram.
“ya saya pun
sayang awak jugak Izzah. Sayang sangat-sangat tapi kenapa awak sedih ni? Sedih
nak berpisah dengan saya ya !” ujar Sakinah bergurau. Izzah tersenyum kelat.
Melihatkan mendung di wajah Izzah, Sakinah serba salah. Barangkali tutur
katanya mengundang luka di hati Izzah.
“Izzah,
maafkan saya. Saya bergurau je. Tapi kenapa awak sedih ni?”
“ Sakinah,
memang kita akan berpisah pun. Saya akan pergi jauh lepas ni. saya sedih nak
tinggalkan awak. Saya harap awak terus kuat meneruskan perjuangan walau tanpa
saya di sisi,” kolam air mata Izzah sudah mula pecah.
Bayang-bayang
Izzah berlalu pergi semakin lama semakin samar. Sakinah menjerit nama Izzah
sekuat hati namun Izzah seolah-olah tidak mendengar.
“
Izzzaaaahhhhh !!!!! tunggu sayaaaa !!! “ jerit Sakinah. Nafasnya
tercungap-cungap. Dahinya berpeluh-peluh. Rupa-rupanya tadi dia bermimpi. Dilihatnya
katil Izzah sudah kosong. Di manakah Izzah? Tiba-tiba, sekumpulan pelajar
ramai-ramai masuk ke dalam dorm Sakinah sambil mengangkat seseorang. Ya Allah !
Izzah ! apa dah jadi? Sekujur jasad yang begitu lemah. Wajah yang pucat,
sekiranya wajah itu ditoreh pasti tiada darah yang keluar. Dengan pantas
Sakinah menerpa ke arah Izzah. Kepala Izzah dipangku. Telinganya dirapatkan di
dada Izzah, tiada degupan jantung yang berbunyi lagi. Ingin Sakinah berteriak
biarlah ini mimpi seperti tadi. Namun sayang sekali. Sekarang Izzah benar-benar
telah pergi meninggalkannya. Pergi jauh sekali meninggalkan dia sendiri. Menemui
si pemilikNya iaitu Allah, cintanya yang abadi. Andai itu takdirNya, Sakinah
redha menerima hakikat ini.
Ku lakar isi hatiku dengan
air mata
Ku lakari ia pada langit kehambaan
Tiada kata yang dapat ku
lafazkan
Hanya titis air mata bicara
segalanya
Kesatlah air matamu
biarkan ia pergi
redha apa yang akan tiba
berita yang boleh meruntuhkan
perasaan jiwamu
***********************************
NUKILAN UNTUK TEMAN…
saat pertama kali
kita bertentang mata
tak pernah ku
sangka
terbitnya satu
perasaan indah
yang sedang
membuai-buai
sambil bernyanyi
riang
dari corong dasar
hatiku ini....
anehnya perasaan
itu
tanpa perlu
menunggu lama untuk menempatkanmu di singgahsana hatiku ini...
seingatku pada
awalnya
kita saling
menghulurkan tangan menyambut salam ukhwah
saat itulah turut
mengalirnya perasaan itu...
laju,, seperti air
jeram yang mengalir deras.....
terus menuju ke
lembah hatiku ini..
sahabat !
sejak permulaan
kita bertemu
tak henti-henti aku
melafazkan kalimah syukur
tak tahu bagaimana
lagi inginku gambarkan
perasaan yang
sebenar-benarnya telah bertandang...
namun sekarang ini
ku masih tertanya-tanya,
setelah kita
dipertemukan,, kenapa mesti wujudnya perpisahan?
sungguh ku tak mahu
lagi mendengar lagi perkataan 'perpisahan' itu..
ia satu keadaan
yang amat memeritkan,
dari kecil sehingga
kini perkataan itu tetap sebati dalam kamus hidupku..
setelah ku bertemu
dengan insan yang ku sayang,
usia kebersamaan
itu tidak lama...
kerap jua air mata
ini menangisi,
suratan hidup
menerima hakikat manusia itu datang dan pergi,
sampai bilakah
harusku hadapi?
namun hadirnya
tarbiyah Allah itu tanpa diduga,
dengan lembut Dia
memujukku,
dengan lembut Dia
menenangkanku...
ketika Allah
memisahkanku dengan teman yang ku sayang,
Dia tidak pernah
lupa untuk menghadirkan insan yang lebih baik daripada itu,
itu janjiNya....
setiap kali
perginya teman itu, Dia berbisik kepadaku,
sesungguhnya itu
bukanlah perpisahan tapi hanyalah jarak...
buktinya saat ini
ku tak pernah merasakan amat jauh dengan teman-teman,
bahkan ku semakin
dekat, semakin dekat seolah-olah mereka turut berada di sisiku, sedang merenung
mataku yang kian sarat menanggung rindu...
malah seakan-akan
sedang bersama denganku tika suka dan duka..
ajaibnya,,
bagaimanakah itu?
sayangku,
itulah namanya takdir,rahmat
dan hikmah sebuah ukhuwah,
tidak dipinta wang
berjuta, intan permata untuk memilikinya,
tapi cukuplah
sekadar memilikinya dengan cinta dan kasih sayang..
demi merebut
cintaNya,
selangkah demi
selangkah kita menapak.
adakalanya ku
tersungkur jatuh di perjalanan, namun engkaulah yang membangunkanku,
lantas genggaman
tangan dieratkan kembali, seerat simpulan tali..
seolah-olah tidak
mahu antara kita yang tak mampu bangkit semula nanti..
kini ku cekalkan
hati,
yang patah
bertumbuh dan yang hilang berganti,
setiap yang pergi
ada tanggungjawab yang menanti,
setiap yang datang
meraih janji,
yaa,, sebuah janji,
iaitu berjanji
untuk sama-sama mengiringi,
menuju ke jannah,
negeri yang abadi !
ingatlah duhai
teman !
setiap yang hadir
itulah yang terbaik,
dan,,
kalian realiti di
hadapanku kini,
satu masa nanti
pasti ungkapan 'perpisahan' itu berulang kembali,
jangan bersedih
temanku,
jangan pernah
merasa jauh,
bukankah hati kita
telah lama bertaut?
tautan hati yang
kian utuh,
takkan pernah
berjauhan bahkan sentiasa terpahat,
di (sila letakkan
tangan di hatimu) !
-uhibbuki fillah-
Nur Nisaa’ Muizzah (Izzah)
Sakinah
meletakkan tangan di hatinya. Bagaikan terngiang-ngiang suara dan kata-kata
Izzah. Izzah bagaikan hidup di hatinya. Bingkisan warkah yang ditulis oleh
Izzah disimpan kemas dalam diari ungu itu. Perlahan-lahan Sakinah bangun,
menuruti langkah Khaulah. ‘Izzah sahabatku, tenanglah kau di sana. Moga kita
bertemu lagi di jannah, negeri yang abadi. Tunggu saya !’ doa Sakinah sambil
berlalu pergi.
Ukhwah ini umpama tasbih
Punya awal namun tiada
akhirnya
Andai tasbih ini berhenti
Rasa cinta dan mahabbah di
hati
Sentiasa membara di dalam
diri
Yakin
dan pasti...
Sedikit masa nanti...
kita akan mengulangi
tasbih ini kembali
Kerana cinta yang tertanam
sentiasa bersemi
Kerana tasbih ini
tautannya cinta Rabbi
Kerana kasih ini
sentuhannya rahmat Ilahi..
Ketika uhkwah ini
bertasbih
Cahaya petunjuk
memancarkan seri
Dalam hidayah kasih
bersemi
Bimbinglah diri agar
tasbih ini kekal di hati
Jangan biar ia sunyi dan
sepi
Bawalah diri mengingati
Rabbi
Bawalah
hati saling mencintai…
Kasih-sayang sesama Islam
(seaqidah)
Kata Imam
Hasan al-Banna r.a. (1908-1949m) dalam Risalah Ta’alimnya : “Maksudku dengan
ukhuwwah (kasih sayang dan persaudaraan) adalah: Hati-hati dan ruh terikat
dengan ikatan akidah. Ikatan akidah adalah ikatan yang paling kukuh dan mahal.
Persaudaraan sebenarnya adalah persaudaraan iman dan perpecahan itu adalah
saudara kepada kekufuran. Kekuatan yang pertama kepada kita adalah kekuatan
kesatuan, tidak ada kesatuan tanpa kasih sayang. Kasih sayang yang paling
rendah adalah berlapang dada dan yang paling tinggi ialah martabat `ithar’
(melebihkan saudaranya dari dirinya sendiri). Firman Allah s.w.t. : “dan
orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum
mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada
pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang
yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu
lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan
dan amat berhajat. dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara
dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang
Yang berjaya.” (surah Al-Hasyr ayat 9).
seseorang yang benar dengan
fikrahnya akan melihat saudaranya lebih utama untuk diberikan perhatian dari
dirinya sendiri kerana kalaulah mereka tidak bersama dengannya pasti mereka
akan bersama dengan selain darinya (orang lain). Mukmin dengan mukmin yang lain
adalah seperti sebuah bangunan yang menguatkan antara satu sama lain. “Mukminin
dan mukminat sebahagian mereka adalah pemimpin kepada sebahagian yang lain.”
Inilah situasi yang perlu kita wujudkan.” Sebagaimana maksud Firman Allah SWT,
"Pasti ditimpa kehinaan ke atas mereka (manusia) di mana sahaja mereka
berada melainkan mereka yang mempunyai hubungan yang baik dengan Allah SWT dan
manusia”. Surah al Imran, ayat :112
0 comments:
Post a Comment