Friday, 30 August 2013

Tarbiyah Itu Menyentuh Sanubari Ini


            “Hah! Sampai pun..penatnya.”keluhku. Di hadapanku kini, tersergam indah bangunan yang gah berdiri di tengah-tengah kesibukan kota metropolitan, PUSAT ASASI,UNVERSITI ISLAM ANTARABANGSA MALAYSIA (UIAM),Petaling Jaya. Setelah  terperangkap di kesesakan lalu lintas,akhirnya aku tiba juga di pusat pengajian tinggi yang menjadi kebanggaan warga kota di sekitarnya. Setelah mendapatkan tempat meletakkan kereta,aku dan keluargaku segera menuju ke tempat pendaftaran bagi pelajar baharu sesi 2012/2013, di Al-Malik Faisal Hall.
“Ini semua gara-gara abang. Kenapa parkir kereta jauh sangat,kan dah susah nak naik bukit. Kalau datang awal,mesti dapat tempat parkir yang dekat sikit” kataku kepada abangku dengan penuh emosi lantaran kepenatan mendaki jalan berbukit untuk sampai ke Al-Malik Faisal Hall. Abangku diam seribu bahasa,mungkin memikirkan kesilapannya yang lambat bertolak dari rumah kami,Puchong untuk sampai ke sini. Akibatnya,apabila kami sampai,sudah bersesak-sesak kawasan UIAM ini.
                                             **** **** ****
“Adik,tolong ambil nombor giliran ya,” aku ditegur oleh seorang senior pelajar wanita yang melihat aku terburu-buru ingin masuk dewan besar itu. “Oh,kena ambil nombor giliran ke?”tanyaku sambil cuba menutup rasa maluku apabila drama aku dan dia dilihat oleh beberapa orang pelajar baharu yang lain. Setelah menunggu hampir 5 minit,giliran aku dan beberapa pelajar yang lain yang akan masuk ke dewan itu. Urusan di dalam dewan itu tidaklah selama mana yang aku fikirkan. Selepas 10 minit,aku keluar dengan memegang kunci bilikku. “Eh,nama mahallah ni samalah dengan nama aku, Mahallah Aisyah”bisikku berbangga.
Selama 1 minggu kami dijaga oleh Mahallah Representetive Committee(MRC). Aku berasa sangat terhibur dengan telatah kakak-kakak senior yang bagiku mereka bijak menggunakan kesempatan yang ada untuk mendekati kami agar kami lebih selesa di sini. Kehadiran seorang ahli MRC,kak Islamiyah mengetuk pintu hatiku untuk cuba menerima suasana keislaman di sini.Entah kenapa,apabila berada di sini,aku merasakan diri aku sangat jauh berbeza dengan rakan-rakanku yang lain yang berasal dari sekolah yang berlatarbelakangkan agama. Semestinya aku merasakan begitu,kerana menurutku pasti ilmu agama mereka lebih banyak dan tinggi daripada aku yang hanya berasal dari sekolah luar bandar yang bukan berlatarbelakangkan agama.
Tapi ternyata hatiku masih kebal daripada taufiq.“Ah,biarlah kalau mereka sekolah menengah agama pun,kenapa aku nak kisah? Mereka  pakai tudung,aku pun pakai tudung,walaupun tudung aku taklah selabuh tudung yang mereka pakai.”kataku sedikit angkuh dalam hatiku. Aku menjalani hari-hariku sepanjang tempoh Taaruf Week seperti biasa. Namun begitu,aku tidaklah bersikap sombong dengan orang-orang di sekelilingku. Aku tetap melemparkan senyuman kepada sesiapa sahaja yang aku jumpa.
Tiga hari kemudian,aku berkenalan dengan seorang insan yang kupanggil Annesa. Entah kenapa,hatiku tercuit untuk berkenalan dengannya lebih dekat. Kata-katanya yang lembut,senyumannya yang manis tanpa dibaluti kepura-puraan dan akhlaknya yang baik membuatkanku semakin ingin mengenalinya. Kami mula bertemu setelah selesai mengerjakan solat maghrib berjemaah di musolla.
“Baiknya aku tengok Annesa ni. Tapi,aku seganlah nak tegur dia. Dia nampak hebat. Ilmu agama dia pun mesti lebih banyak. Nak ke dia kawan dengan aku? Ish..tapi,aku nak sangat kenal dengan dia. Tak apalah,cubalah minta nombor telefon dulu.” Dengan debaran yang masih berbaki,aku mendekatinya dan berkata, “Annesa,boleh tak saya nak nombor awak?” “Oh,boleh,boleh,”katanya sambil tersenyum. Ah,leganya rasa! Nasib baik dia bagi.
Entahlah,sejak mengenali Annesa,hatiku mudah terusik apabila melihat ada orang lain yang lebih amalannya daripada amalan kebiasaanku. Sebelum ini,aku tidak pernah kisah kalau mereka ingin membaca al-Quran bermuka-muka surat,puasa sunat setiap Isnin dan Khamis,dan sebagainya tetapi,kini aku berasa tidak senang duduk jika aku turut tidak melakukan amalan-amalan sunat seperti mereka.
“Ah,malunya aku dengan mereka. Ma’thurat pun mereka dah boleh hafal,sedangkan aku,baru hari ini,aku kenal apa itu ma’thurat. Aku tak pernah baca ma’thurat sebelum ini,dan aku jarang baca surah al-Mulk sebelum tidur. Siapalah yang sudi nanti nak berkawan dengan aku dan bimbing aku? Banyaknya dosa aku sebelum ini. Mereka semua pandai menutup aurat dengan sempurna,sedangkan aku?”
“Ya Allah,aku hambaMu yang lemah. Aku tak mampu hadapi hidup ini sendirian. Ya Allah,bantu aku. Tunjukkanlah aku sahabat-sahabat yang sabar dengan kerenah aku dan mampu membimbingku ke jalanMu. Aku masih jahil tentangMu,ya Allah. Dulu, aku menganggap diriku sudah baik dan tidak perlukan bimbingan orang lain. Aku bongkak,bangga dengan kelebihan yang Kau kurniakan kepadaku. Ya Allah,malunya aku denganMu. Sudah terlalu banyak nikmat yang Kau berikan kepadaku,tapi berapa kalikah aku mengucapkan syukur?”
“ Sungguh,aku tak pandai bersyukur denganMu,tapi tetap saja Kau berterusan mengalirkan rahmatMu kepadaku sehingga Kau meletakkan aku di sini. Aku bersyukur denganMu kerana atas keizinanMu aku bertemu dengan orang-orang yang Kau reda agar aku juga mengikut jejak langkah mereka demi mencapai keredaanMu, Rabb.. ya Allah,berikanlah hidayahMu kepada mama dan papaku. Sedarkanlah mereka bahawa mereka masih ada Tuhan yang perlu disembah. Kasihani mereka. Amin,”aduku pada Tuhanku di waktu tahajud yang dingin bersama linangan air mata penyesalan.
                                                 **** **** ****
Minggu kuliyah kami bermula. Aku berada dalam kumpulan 13. Tidak kusangka, Annesa juga sekuliyah denganku. Gembira tak terkata hatiku. Dia yang sampai awal daripadaku,menyambut kedatanganku dengan senyuman. “Assalamualaikum,Annesa. Awak sihat? Tak sangka kita sekelas..” “Waalaikumussalam Aisyah. Alhamdulillah,saya sihat. Saya gembira kita sekelas,nanti bolehlah kita belajar sama-sama ya?” Tawarannya kepadaku untuk sama-sama belajar membuatkan hatiku semakin melonjak kegembiraan. “Eh,boleh saja,” jawabku sambil tersenyum. 
                                                   **** **** ****
Seminggu kemudian,setelah selesai kelas Matematik pada pukul 10 pagi,aku mengajaknya ke Kafe Mahallah Zainab Jahsyi. Niat di hati ingin membelanjanya makan. Kebetulan,pada waktu itu,kafe masih lengang mungkin kerana ramai pelajar yang ke kelas pada waktu ini. Ssetelah mengambil makanan dan minuman masing-masing,kami duduk di sudut yang agak terlindung daripada orang lain. “Annesa,terima kasih sebab sudi luangkan masa dengan saya sekejap.” “Eh,tak apalah,saya tak kisah. Lagipun tadi, Sir Nazim pun tak ada bagi kerja,kan. Lagipun,terima kasih juga sebab awak sudi belanja saya makan hari ini,”katanya sambil tersenyum. Senyumannya itulah yang membuatkan diriku terhibur setiap hari.
Tiba-tiba aku melarikan pandangan ke arah lain. “Eh,kenapa ni Aisyah? Saya salah cakap ke? Saya minta maaf,”bergetar suara Annesa. “Tak,awak tak ada salah apa-apa. Saya cuma teringat tentang keadaan diri saya sebelum saya datang ke UIA ni dan sebelum saya kenal dengan awak dan kak Islamiyah.”kataku sambil mengesat air mata yang mengalir keluar. Kemudian, kusambung bicaraku, “awak tahu tak Annesa,dulu saya di sekolah,pergaulan bebas dengan lelaki sudah menjadi hal yang biasa bagi kami. Apabila pulang sekolah,saya akan membuka tudung tanpa sedikit pun rasa bersalah pada Tuhan. Saya rasakan ini adalah kebebasan saya. Mama dan papa saya pun tak pernah kisah kalau ada kawan lelaki yang datang ke rumah kami. Saya juga jarang bersolat di rumah. Hanya apabila ada peperiksaan sahaja,baru saya solat. Saya juga tak pernah nampak mama dan papa solat di rumah.”
“ Waktu itu,saya rasakan mama dan papa saya ialah orang yang paling sporting. Mereka tak pernah marah dengan perbuatan saya yang kadang-kadang tidak elok dipandang oleh jiran tetangga. Saya pernah menunggang motor berduaan dengan kekasih saya, Rayyan walaupun kami baru berumur 17 tahun. Beralaskan alasan ingin belajar bersama-sama,mama dan papa saya memberikan kebebasan seluasnya kepada saya. Memandangkan kami berdua ialah pelajar harapan sekolah, mama dan papa sering mengajak Rayyan datang ke rumah kami walaupun kadang-kadang mereka tidak ada di rumah.”
“Pernah sekali,ketika itu,mama ada di dapur dan papa keluar berjumpa Dato’ Daniel,ayah Rayyan, dia seperti sengaja memegang tangan saya ketika saya bertanya kepadanya soalan Matematik Tambahan. Pada mulanya,saya menepis. Kemudian,dia tersengih-sengih seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku. Saya menjeling marah kepadanya. Tetapi,kemudian dia mengulangi perbuatannya memegang tangan saya. Kerana letih menegurnya,saya biarkan sahaja,”air mataku semakin deras mengalir. Annesa mendengar tanpa menyampuk kata-kataku. Dibiarkan sahaja aku meluahkan segala yang terpendam di hatiku ini.
“Setelah berbulan-bulan berhempas-pulas,akhirnya kami berjaya menjadi pelajar terbaik sekolah dengan keputusan 10A+ dalam SPM 2011. Bukan main gembira wajah guru-guru kami. Mama dan papa, Dato’ Daniel dan Datin Katty tersenyum bangga dengan keputusan cemerlang kami. Tiba-tiba,tanpa diduga Rayyan memeluk saya di hadapan semua orang. Suasana riang bertukar kaget melihat perbuatan spontan Rayyan. Saya segera menolak tubuh Rayyan. Saya mengajak mama dan papa pulang ke rumah kerana tidak tahan menanggung malu di hadapan semua orang.”
“Sesampai saja di rumah,saya menguncikan diri di dalam bilik sambil menangis teresak-esak. Waktu itu,saya rasakan diri saya kotor,Annesa. Tak sangka,Rayyan sanggup buat begitu terhadap saya. Keesokannya,Rayyan sekeluarga datang ke rumah saya untuk meminta maaf atas kepada saya. Tapi,entah kenapa saya tidak dapat memaafkan perbuatannya semalam. Saya katakan padanya bahawa hubungan kami sampai di sini sahaja. Kalau dia boleh buat begitu terhadap saya,pasti dia akan berani buat begini terhadap perempuan lain apabila kami bernikah kelak.”
“Awak akan bernikah dengan dia?”tanya Annesa,dengan wajah berkerut. “Ya,saya terdengar perbincangan antara mama dan papa ketika mereka berada di ruang tamu kira-kira 4 bulan sebelum SPM. Cadang mereka,mereka mahu kami bernikah setelah selesai menghabiskan pengajian di peringkat ijazah di Imperial College London. Walaupun ketika mendengar keputusan itu saya berasa sangat gembira,tetapi setelah peristiwa di sekolah, saya berasa jijik dengan dia. Saya tidak mahu bersuamikan orang yang seperti dia. Dengan wajahnya yang kacak dan keluarganya kaya,pasti ada gadis lain yang akan bernikah dengannya nanti. Saya tidak mahu peduli itu semua.”kataku sedikit emosi.
“Sejak peristiwa itu,saya berusaha menjauhkan diri daripada dia. Ketika ingin mengisi borang UPU pun saya akan pastikan saya tidak akan seuniversiti dengan dia. Kerana itulah saya memilih UIAM dengan harapan tidak akan berjumpa dengan dia. Saya dengar daripada kawan-kawannya,dia benar-benar telah pergi ke Imperial College London. Walaupun pada mulanya mama dan papa menentang keputusan saya ke sini,tapi mereka terpaksa menurut juga kata saya,kalau tidak,saya tidak ingin sambung belajar.”
“Saya akui,niat saya bukanlah kerana Allah pada mula-mulanya. Tapi,setelah saya mengenali awak dan kak Islamiyah,kalian banyak membimbing saya ke jalan yang benar. Kak Islamiyah juga selalu datang ke bilik saya dan bertanya khabar diri dan iman saya. Walaupun mulanya saya tidak berasa suka,tapi lama-kelamaan saya suka jika dia datang ke bilik saya dan berbual-bual dengan saya. Kadang-kadang dia datang membawa buah tangan. Pertama kali,saya rasakan diri saya diberi perhatian dari segi jasmani dan rohani. Awak nak tahu? Sekarang saya ikuti usrah di bawah bimbingan kak Islamiyah. Di situ,saya baru kenal erti tarbiyah,dakwah dan jihad,”aku mengesat air mata kesyukuran yang mengalir.
Annesa turut mengalirkan air matanya saat dia mendengar luahan hatiku. Dia memegang tanganku seeratnya. “Awak,tak sangka awak setabah ini. Saya bersyukur kerana dapat berkenalan dengan awak. Saya belum pernah diuji seperti ini. Awak,teruskan bersabar ya. Kuatkan hati awak. Kalau awak berasa lemah dan berdosa, ingatlah firman Allah ini dalam surah az-Zumar ayat 53. ‘Wahai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri sendiri! Janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampunkan dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun, Lagi Maha Penyayang’. In sha Allah, Allah pasti akan membantu awak melupakan kenangan pahit awak.”
                                                 **** **** ****
 Aku menjalani hari-hariku dengan penuh ketenangan sambil Annesa sentiasa bersama-samaku. Di mana sahaja Annesa berada,pasti di situ ada aku. Semakin aku mengenali Annesa,semakin aku ingin mengubah penampilan diriku. Bermula dengan azam untuk memakai sarung kaki,aku cuba untuk mencari sepasang sarung kaki di kiosk. “Wah, tujuh ringgit! Mahalnya. Kenapa mahal sangat? Ish,nak beli ke tak?”kataku perlahan sambil berfikir-fikir. “Hmm, nantilah baru aku beli.”
Kakiku mula melangkah meninggalkan kiosk itu,tapi,tiba-tiba langkahku terhenti. Teringat aku akan perbualan antara aku dan Annesa semalam, “Aisyah, saya tengok.awak seorang yang lembut dan baik hati. Awak memiliki perwatakan muslimah yang baik. Semakin saya kenal dengan awak, kadang-kadang saya rasa malu dengan awak kerana awak seorang yang kuat. Awak mampu berhadapan dengan cabaran dengan cara awak tersendiri.” “Eh,taklah Annesa. Saya taklah sekuat dan sebaik yang awak fikirkan. Saya rasakan diri saya banyak sangat dosa. Saya tidak sebaik awak Annesa.” kataku sambil memandang ke lantai kelas.
“Aisyah,kita hidup di dunia ini,pasti akan diuji oleh Allah. Sebaik manapun awak menilai saya,saya tetap melakukan dosa setiap hari. Tiada manusia yang sempurna dalam hidup ini.Awak,sebenarnya sebaik-baik orang yang melakukan dosa adalah orang yang bertaubat setelah melakukan kesalahan. Sekuat manapun penyesalan seseorang,sedalam manapun azamnya,semua itu belum menjamin taubatnya diterima.” “Maksud awak?”
Ku lihat,Annesa menarik nafasnya dalam-dalam sebelum berkata“Aisyah,saya yakin,awak pasti berasa berasa menyesal dengan apa yang telah awak lalui sebelum ini,dan saya yakin awak pasti ingin sekali berubah menjadi muslimah yang lebih baik,kan? Jadi,sebenarnya,apa yang ingin saya katakan di sini, sebagai permulaan,awak berusahalah untuk menutup aurat dengan lebih baik,seperti memakai sarung kaki. Awak tahu,kan? Kaki adalah sebahagian daripada aurat wanita yang wajib ditutup?” begitu berhati-hati Annesa menuturkan kata agar aku dapat menerima butir bicaranya.
Aku terdiam seketika. Merenung kembali wajah mulusnya. Hati kecilku mengiyakan kebenaran kata-katanya. Teringat aku akan sebuah hadis yang kuterbaca di perpustakaan. ‘Seseorang insan adalah terikut-ikut dengan adat kebiasaan sahabatnya. Maka hendaklah kamu melihat dengan siapa kamu bersahabat’ Riwayat al-Tirmizi dan al-Hakim. “Annesa nasihatkan aku sebab dia sayangkan aku. Dia tak mahu aku terjerumus ke lembah dosa sekali lagi. Aku yakin,niatnya baik. Baiklah,in sha Allah nanti aku belilah sepasang sarung kaki esok”bisik hatiku. “In sha Allah, Annesa,” aku tersenyum padanya.
Berbekalkan niat kerana Allah,aku beli juga sarung kaki itu. Sambil memegang sarung kaki itu,aku tersenyum puas.Betapa gembira sekali wajah Annesa saat pertama kali dia melihat aku mula memakai sarung kaki ke kelas. “Alhamdulillah, saya rasa sangat gembira lihat awak mula untuk menutup aurat dengan lebih baik. Saya yakin,awak mampu buat, Aisyah. Teruskan niatmu kerana Allah.” Annesa menyentuh lembut pipiku. Aku tersenyum, “terima kasih Annesa. Awak teruslah doakan saya,ya? Saya sangat perlukan doa seorang sahabat seperti awak. Tak tahu macam mana saya nak teruskan hidup kalau awak tak ada di sisi saya.” “Jangan kata begitu,setiap yang berjiwa pasti akan merasai mati.” “Eh,kenapa awak bangkitkan soal kematian pula,Annesa?” “Tidak ada apa. Bukankah nabi bersabda orang yang paling bijak adalah orang yang  paling banyak mengingati mati,”katanya sambil terus membuka buku kerana Sir Nazim sudah masuk ke kelas.
                                                     **** **** ****
Seminggu kemudian, aku meneruskan jihadku untuk membeli 3 pasang sarung lengan. Sepasang ingin kuhadiahkan kepada Annesa. Dia menyambut pemberianku dengan wajah yang gembira ketika aku ke biliknya. Kebetulan,semua teman sebiliknya tiada di dalam bilik. Annesa menjemputku masuk. “Annesa,awak okey tak ni? Kenapa muka awak macam pucat semacam saja?” “Tiada apa-apa. Semalam tidur agak lewat,banyak sangat kerja yang perlu  disiapkan.”balas Annesa bersungguh-sungguh. “Eh,kerja apa pula? Bukankah kita sudah siapkan bersama-sama semua kerja yang diberikan oleh Sir Nazim, Sir Ariff dan Ustaz Shauqi minggu ini?” hatiku mula merasakan sesuatu.
“Apa yang awk cuba rahsiakan daripada saya ni, Annesa?” “Benar,Aisyah. Tiada yang saya sembunyikan daripada awak. Awak percaya,kan dengan saya?” Melihat wajahnya yang sedikit kelelahan,masih meninggalkan secalit keraguan di hatiku,bahawa Annesa memang ada menyembunyikan sesuatu daripadaku. Tapi kerana tidak ingin memanjangkan persoalan,aku anggukkan sahaja kepalaku.
                                                     **** **** ****   
Sejak dari hari itu, Annesa kini bukan lagi Annesa yang aku kenal masa mula-mula. Sering aku perhatikan dari jauh,dia kini mudah lelah apabila menaiki tangga walaupun cuma 2 tingkat untuk ke biliknya. Dia juga kelihatan tidak fokus dalam kelas dan sering mengadu sakit kepala. Tiga hari kemudian,setelah solat zohor,kebetulan tidak ada kelas lagi setelah itu,aku berasa sangat tidak sedap hati lantas aku segera turun ke tingkat 2 walaupun aku tinggal di tingkat 4.
Apabila aku sampai di biliknya,aku berasa sangat terkejut kerana dia pengsan di sisi muntahnya yang banyak. Aku yang masih kaget,panik sebentar mencari solusi. Aku segera mendekatinya dan cuba menyedarkannya,tetapi gagal. Aku meminta bantuan jiran-jirannya untuk segera menelefon Klinik UIAM kerana kecemasan yang berlaku. Teman-teman sebiliknya semua sudah ke kelas. 5 minit kemudian,bantuan daripada pihak klinik tiba di bilik Annesa. Annesa segera dibawa turun dalam keadaan yang masih tidak sedarkan diri. “Ya Allah,selamatkan Annesa. Selamatkan sahabatku,amin.”
Aku menyusul ke klinik untuk mengetahui perkembangan dirinya. Tiba-tiba,Doktor Halim mengatakan bahawa Annesa menghidapi penyakit yang serius dan perlukan rawatan di hospital. Hampir terputus urat jantungku apabila doktor memberitahu bahawa Annesa mungkin menghidapi kanser otak tahap 4. Doktor mencadangkan agar Annesa segera dibawa ke Hospital Kuala Lumpur(HKL) pada hari itu juga. Ketika itu,aku masih merasakan duniaku gelap seketika. Spontan,aku memberitahu doktor bahawa aku ingin pergi menemani Annesa di hospital itu.
Alhamdulillah,doktor memberikan keizinan kepadaku. Pantas,segera kudail nombor ibu Annesa menggunakan telefon bimbit Annesa yang kupegang dari tadi. Bukan main terkejut ibunya saat diberitakan berita itu. Tempat tinggal mereka yang jauh,di Pasir Mas semakin menyukarkan perjalanan keluarganya untuk tiba di sisi puteri tersayang. 
Seminggu berlalu,keadaan Annesa semakin hari semakin memburuk. Kadang-kadang dia tidak mengenali siapa yang datang melawatnya walaupun ibunya sendiri. Hal ini begitu menyedihkan hati seorang ibu. Anak yang ditatang dengan penuh kasih sayang,kini semakin luput ingatan terhadapnya. Setiap malam,aku bangun tahajud sambil mengadu kepada Tuhanku, “ya Allah,sesungguhnya dugaanMu kali ini terhadapku amat berat. Tak tertanggung rasanya hati ini. Sayu hatiku melihat Annesa. Dia hambaMu yang baik dan sahabat sejatiku yang sentiasa mendorongku untuk mencari cintaMu, setelah aku terpesong dari jalanMu. Ya Allah,berikanlah kemudahan dalam urusannya. Tabahkanlah hatinya dan ahli keluarganya. Amin..”
                                                   **** **** ****
Suatu hari,setelah habis kelas,aku segera ke HKL dengan menaiki teksi. Tidak beberapa lama kemudian,setelah sampai di pintu hadapan hospital,hatiku berdebar-debar apabila melihat para jururawat mengusung jasad yang tidak bernyawa di hadapanku. Seolah-olah tidak percaya dengan apa yang kulihat, segera ku minta mereka berhenti. Dengan tangan yang bergetar dan hati yang penuh debaran,aku membuka kain putih untuk melihat wajah jenazah tersebut. “Masya Allah,jenazah lelaki. Nasib baik bukan Annesa,”bisik hatiku.
Laju langkahku menuju ke bilik Annesa di tingkat 1. Ketika aku sampai,kulihat Annesa sedang membelek-belek al-Quran tafsir yang kuberikan padanya. “Annesa dah solat?” Kulihat dia menatapa wajahku lama,sebelum berkata, “Oh,Aisyah ya? Subhanallah,awak sudah pun bertudung labuh. Cantiknya awak. Ya,saya sudah solat tadi. Islam itu kan mudah. Tak dapat solat berdiri,boleh solat berbaring. Allah itu baik,kan Aisyah?” Aku tersenyum padanya. Segera kududuk di sebelah katilnya dan berkata, “Annesa,saya sangat sayangkan awak. Selama ini,awak terlalu baik terhadap saya. Awak bersabar dengan segala kerenah saya.  Awak yang tarik saya semula ke jalan yang lurus. Belum pernah saya jumpa mana-mana sahabat yang sesetia dan seikhlas awak.”
Air mataku mengalir. Entah kenapa,hari itu,ingin sekali aku luahkan segalanya terhadapnya. Jumaat 1 Februari 2013. Penghulu segala hari menyaksikan segala-galanya yang berlaku pada hari itu.  “Annesa,awak nak tahu tak, sekarang mama dan papa saya dah mula kenal Tuhan mereka. Semalam,saya telefon mereka,tapi abang saya yang jawab. Kata abang,mama dan papa sedang solat Asar berjemaah. Terharu saya. Alhamdulillah,mungkin pengislahan diri saya membuatkan Allah memberikan mereka hidayah dan taufiq.”
“Alhamdulillah,baguslah begitu. Teruskan berdoa untuk keluarga awak. Saya yakin,awak ialah anak yang baik. Teruskanlah berdakwah walaupun pelbagai dugaan yang datang di jalan awak. Itu adalah tanda kecintaan Allah terhadap hambaNya. Eh,awak. Cuba awak tengok,ada dua orang yang datang lah. Putih bersih pakaian mereka. Mungkin mereka nak datang melawat saya.” Aku menoleh. Tiada sesiapa di belakangku. Hatiku mula berdebar kencang. “Awak, awak ada bau sesuatu yang wangi tak? Eh,mereka bawa kain putih yang wangilah,”kata Annesa dengan penuh keterujaan.
Aku semakin berdebar. Mungkinkah yang dilihat Annesa itu...? “Awak,sakitnya kaki saya. Sakitnya menjalar ke badan saya.” “Annesa,mengucap. Laailahaillallah..,” berkali-kali aku membisikkan kalimah suci itu di telinganya sambil mengusap kepalanya yang kini hanya sedikit rambut yang tinggal. Begitu payah dia menyebut,akhirnya kalimah suci itu terucap juga. Sedetik,Annesa kini kembali di sisi Tuhannya dengan wajah yang tenang.
 “Pergilah sayang,semoga kau bahagia di sana,amin..”kataku sambil wajahku dilinangi air mata kesedihan kerana kehilangan sahabat sebaik dia untuk selama-lamanya. Tapi,hatiku sedikit terubat apabila teringat hadis nabi, ‘seseorang itu adalah bersama dengan orang yang dikasihi’ Riwayat al-Bukhari dan Muslim. “Ya Allah,pertemukan aku dengan Annesa sekali lagi di Taman FirdausiMu,amin,”doaku dengan penuh harapan kepada Tuhanku.


0 comments:

Post a Comment