Friday, 30 August 2013

Erti Kebenaran yang Tersusun

Cukuplah dengan kata-kata Saiyidina Ali Karamallahu wajhah itu memberikan satu gambaran yang jelas kepada semua yang bergelar tentera-tentera Allah bahawa strategi merupakan satu ramuan yang teramat penting dan istimewa dalam resipi kemenangan Islam. “Kebenaran yang tidak tersusun mampu ditewaskan oleh kebatilan yang tersusun”,satu kata-kata yang sememangnya bukan sahaja tidak boleh dipandang begitu enteng dalam perjuangan ini bahkan mampu memberikan satu tamparan yang hebat jika ia menjadi realiti.Pengabaian terhadap komponen strategi ini akan melahirkan suatu gerakan yang cacat pada rupanya,tempang pada pelaksanaannya,juga pincang pada matlamatnya.Gerakan tanpa sebarang perancangan atau strategi sekali gus memberikan gambaran kemenangan yang retorika semata-mata kepada ahli gerakan.

Strategi pada hakikatnya adalah perencanaan dan pengurusan terhadap sesuatu matlamat.Dalam konteks perjuangan Islam,strategi merujuk kepada perencanaan ataupun perancangan kea rah menegakkan kalimah “La Ilaha Illa Allah” di atas muka bumi ini.Sekiranya sebarang perancangan tidak diperlukan dalam usaha untuk mencapai matlamat ini,maka haruslah kita menggelar Saiyidina Ali itu seorang pendusta akan tetapi bagaimana mungkin seorang sahabat yang mendapat julukan “Karamallahu Wajhah” itu digelar sebegitu rupa.Sebaliknya kita sebagai ahli gerakan,perlu membuka semula lembaran sejarah yang telah dilakarkan oleh generasi pejuang dahulu kala.
Dalam sirah Rasulullah SAW,terdapat beberapa peristiwa atau insiden yang sudah cukup untuk memberitahu kita bahawa Islam itu tidak akan mencapai kemenangan tanpa strategi walaupun  sesuatu gerakan itu sudah mempunyai satu lagi ramuan yang asas iaitu aqidah yang utuh dan jitu.Dalam peristiwa peperangan Badar Al-Kubra yang telah membasahi bulan Ramadhan yang mulia  dengan darah para syuhada,masyarakat Islam pada hari ini dihijabkan oleh suatu fakta yang amat signifikan berkenaan dengan strategi.Hal ini seolah-olah terdapat satu perancangan yang rapi oleh musuh Islam untuk menggagalkan umat Islam daripada faham tentang hakikat kemenangan Islam itu sendiri.

PENGUASAAN MARKAS TERPENTING PERANG BADAR

Dalam perang ini,kita sering mendengar mahupun membaca bahawa tentera-tentera Islam telah menerima bantuan yang berupa tentera daripada golongan malaikat daripada Allah SWT.Oleh hal yang demikian ,atas bantuan ini tentera Islam terus memperoleh kemenangan ke atas kaum musyrikin Mekah ketika itu.Sebagai ahli gerakan yang bermanhajkan Al-Quran dan As-Sunnah ,sememangnya kita tidak boleh menafikan hal sedemikian kerana perkara ini sememangnya telah dipahatkan dalam Al-Quranul Karim oleh Allah SWT yang bermaksud :

“Dan sungguh Allah telah menolong kamu dalam Perang Badar,padahal kamu dalam keadaan lemah.Kerana itu bertakwalah kepada Allah,agar kamu mensyukriNya”
(Surah Ali-Imran : 123)

Namun,sebagai ahli gerakan yang menjadikan ‘Munazzamah’ sebagai pegangan dalam amal jamaie,kita juga tidak boleh melupakan kredebiliti Rasulullah SAW bersama para sahabat sebagai tonggak ataupun peneraju strategi  dalam perang  Badar ketika itu.Lupakah kita bahawa sebelum tercetusnya peperangan,Baginda SAW bersama para sahabat telah menguasai markas ketenteraan yang begitu penting dalam perang ini.Sirah Rasulullah SAW bersama ahlu Badar telah memaparkan bagaimana telah terjadinya satu bentuk diskusi berkenaan strategi menghadapi tentera musyrikin dalam perang itu.

Pada suatu petang,mereka telah mengambil tempat yang paling dekat dengan Telaga Badar supaya dapat mencegah Kaum musyrikin menguasai telaga tersebut.Di sinilah seorang pemuda yang bernama Khabab Al-Mundzir bangkit sebagai ahli strategi ketenteraan bertanyakan kepada Rasulullah SAW

“Wahai Rasulullah SAW,apakah dalam memilih tempat ini,kamu menerima wahyu daripada Allah SWT sehingga tidak dapat diubah lagi atau berdasarkan strategi peperangan”

Maka Baginda SAW menjawab, “Strategi peperangan”

Al-Khabab berkata, “Wahai Rasulullah tempat ini tidaklah strategik.Ajaklah pasukan pindah ke tempat air yang terdekat dengan musuh.Kita membuat markas di sana dan menutup sumur-sumur yang ada di belakangnya,kemudian kita buat kubangan ( kolam ) dan kita isi dengan air hingga penuh.Dengan demikian kita akan berperang dalam keadaan mempunyai persediaan air minum yang cukup,sedangkan musuh tidak memperoleh air minum”
Rasulullah SAW menjawab, “pendapatmu sungguh baik”.

STRATEGI DALAM PENYELIDIKAN

Antara strategi lain yang direncanakan oleh Rasulullah SAW sebelum terjadinya perang Badar,ialah melakukan penyelidikan di tempat musuh.Strategi ini merupakan salah satu langkah yang amat penting bagi mendapatkan informasi pergerakan musuh.Tanpa informasi yang tepat berkenaan dengan musuh,mana mungkin Rasulullah SAW bersama para sahabat mampu melakukan susun atur yang seterusnya buat tentera-tentera Islam ketika itu.

Rasulullah SAW bersama Abu Bakar AS-Siddiq telah melakukan penyelidikan di sekitar perkhemahan pasukan Mekah,tiba-tiba datang seorang lelaki tua dari Arab Badwi lalu Rasulullah SAW bertanya kepada lelaki tua tersebut berkenaan perihal tentera musuh.Namun,lelaki tua tersebut tidak memberikan jawapan dengan begitu mudah.Dalam perbualan antara Rasulullah SAW bersama lelaki tua tersebut,terdapat strategi yang diselitkan oleh Nabi SAW dalam konteks tauriyah.Lelaki tua itu kemudian bertanya, “Siapakah kalian ini ?”

Rasulullah SAW kemudian menjawab dengan pintar, “Jika kamu mengkhabarkan kepada kami,kami pun akan mengkhabarkan kepadamu”
Berbekalkan keyakinan yang diberikan oleh Rasulullah SAW sebentar tadi,lelaki tua tersebut menepiskan segala keraguan lantas memberikan maklumat kepada baginda SAW

“Telah sampai kepadaku bahawa Muhammad dan para sahabatnya keluar pada hari anu.Jika benar orang yang menyampaikannya kepadaku itu,pada hari ini mereka berada di tempat anu (tempat pasukan Madinah berada) Dan telah sampai kepadaku bahawa orang Quraisy keluar pada hari anu.Jika benar orang yang mengkhabarkan kepadaku itu,sekarang ini mereka berada di tempat anu (tempat pasukan Mekah berada )”

Setelah menyampaikan berita itu,dia bertanya kepada baginda, “dari mana kalian ini ?”

Rasulullah menjawab, “Kami dari air”.kemudian baginda terus meninggalkannya,sementara lelaki tua itu terus kebingungan, “Apa erti dari air ? Apakah dari air Iraq ?”

Dua perkara ini sepatutnya sudah memadai untuk membuka ahli mata gerakan dengan menunjukkan betapa vital dan signifikannya strategi  dalam usaha untuk memperoleh kemenangan.

GENERASI LACK OF EXPERIENCES , LACK OF TOOLS

Kepentingan berstrategi bukan sahaja dilakarkan dalam lembaran sirah Rasulullah SAW bersama para sahabat tetapi juga turut dipaterikan dalam lipatan generasi kemudiannya.Sosok jaguh yang mustahil kita boleh lupakan,bahkan beliau menjadi contoh dalam kalangan anak muda masa kini.Beliaulah Sultan Muhammad Al-Fateh yang digelar ahlu bisyarah kerana menjadi insan yang pertama yang berjaya merealisasikan hadith Rasulullah SAW yang berbunyi

“Kota Konstantinople itu akan dibuka oleh sebaik-baik raja dan tentera ketika itu”

Kota Konstantinople merupakan sebuah kota yang mempunyai tembok yang begitu mapan binaannya sehinggakan cubaan demi cubaan untuk menembusinya akhirnya menemui kegagalan. Kegagalan ini bukan sahaja dirasai oleh empayar Islam sahaja bahkan turut menjadi mimpi ngeri buat empayar lain.

Sememangnya jika kita mahukan sesuatu yang luar biasa,maka usaha juga perlu luar biasa.Perkara inilah yang diimplementasikan dalam strategi Sultan Muhammad Al-Fateh dalam usaha menembusi tembok agung ketika itu.Kunci kemenangan beliau bersama para tenteranya tidak hanya terletak kepada kezaman dan keimanan mereka,tidak juga hanya kepada senjata meriam hasil upahan Hungary,tetapi juga terletak kepada strategi peperangan yang begitu rapi.Sultan Muhammad Al-Fateh sangat mementingkan kerahsiaan strategi beliau sehingga beliau menyebut

“Sekiranya sehelai daripada janggut aku mengetahui tentang strategiku ini,nescaya akan ku bakar”

Untuk menghasilkan sebuah strategi yang utuh,Sultan Muhammad Al-Fateh begitu tekun mengkaji beberapa strategi perang para sahabat dahulu kala termasuklah strategi perang Umar Al-Khattab.Akhirnya,beliau telah keluar dengan idea memindahkan 70 kapal melalui jalan daratan.Strategi ini telah menyebabkan seluruh empayar Konstantinople menjadi kaget seolah-olah telur telah berada di hujung tanduk,lemah dan terus mengalah.Jika ditanya kepada pakar strategi peperangan pada hari ini sekali pun,tidak mustahil mereka akan menggelarkan Sultan Muhammad Al-Fateh seorang yang gila dek kerana strategi beliau yang berada di luar jangkauan normal.

Namun,inilah hakikat yang perlu kita sedari bahawa strategi memainkan peranan penting untuk sesebuah kemenangan.Sekiranya bukan strategi yang memainkan peranan penting,maka sepatutnya tembok Konstantinople itu sudah dibuka oleh generasi sebelum Sultan Muhammad Al-Fateh lagi,iaitu generasi Abu Ayyub Al-Ansari.Jika dibandingkan kehebatan tarbiyah antara kedua-dua generasi ini,maka generasi Abu Ayyub Al-Ansarilah yang lebih hebat kerana beliau hidup bersama Rasulullah SAW,mendapat tarbiyah secara langsung daripada baginda berbanding generasi Sultan Muhammad Al-Fateh yang lahir begitu jauh daripada zaman baginda.Namun,kegagalan Abu Ayyub Al-Ansari bukanlah disebabkan lemahnya pergantungan mereka kepada Allah SWT tetapi mereka gagal memenuhi syarat kemenangan dari sudut kelengkapan dan strategi.Inilah sunnatullah yang ditetapkan oleh Allah SWT untuk menggapai sebuah kemenangan.

Generasi Abu Ayyub Al-Ansari inilah yang digelarkan oleh Profesor Herald Inalchik,salah seorang pengkaji sejarah ketamadunan Islam Turki  sebagai generasi “lack of experiences,lack of tools”

REALITI AHLI GERAKAN

Dalam menyelusuri peta perjuangan hari ini yang sememangnya berbeza dengan generasi Rasulullah SAW mahupun para sahabat,kita tidak dapat berlepas tangan atau melarikan diri daripada berstrategi.Konteks perjuangan kita pada hari ini yang lebih tertumpu kepada lapangan siyasah demokrasi,kita juga seharusnya melakukan perencanaan yang hebat seumpama perencanaan pejuang-pejuang dahulu walaupun konteks perjuangan mereka lebih kepada peperangan.

Walaubagaimanapun,sejarah-sejarah mereka sudah semestinya mampu dibuat 1001 ibrah buat kita sebagai ahli gerakan.Masakan tidak,sehingga Allah SWT sendiri memberitahu dalam kalamNya yang berbunyi
“Sungguh,pada kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi orang yang mempunyai akal.Al-Quran itu bukanlah cerita yang dibuat-buat tetapi membenarkan kitab-kitab yang sebelumnya,menjelaskan segala sesuatu,dan sebagai petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang beriman”
(Surah Yusuf :111 )

Di atas peta siyasah inilah,kita haruslah memikirkan strategi  untuk pelbagai sudut seperti strategi berhadapan dengan media,strategi menawan hati rakyat,strategi berada di parlimen,strategi menghadapi fitnah tohmahan dan pelbagai lagi kerana strategi merupakan sunnatullah bagi sesebuah kemenangan.Oleh hal yang demikian,sifat ahli gerakan itu tidak sepatutnya pasif,tetapi perlu sentiasa agresif.Ahli gerakan tidak seharusnya menyandang julukan “ahli gerakan” sekiranya tidak kreatif dan kritis dalam menggerakkan tanzim.Kebenaran perlu disebarkan dengan cara atau gaya yang menarik,jika tidak manusia hanya akan memandang buruk  dan terus membenci kebenaran yang akhirnya menyebabkan umat manusia jauh dari hakikat kebenaran itu sendiri.Dalam menyampaikan kebenaran,strategi juga perlu dicantikkan dan diindahkan kerana STRATEGI PEMANGKIN KEMENANGAN ISLAM.


  

0 comments:

Post a Comment