Saturday, 7 September 2013

Pabila Larut Malam



BILA MALAM MENJELMA

“Dan bangunlah pada sebahagian daripada waktu malam serta dirikan solat Tahajud padanya sebagai solat tambahan bagimu. Semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.” (Surah al-Isra’: 79)

Betapa,Allah menjanjikan tempat yang terpuji untuk hambaNya yang menghidupkan malam dengan mengabdikan diri padaNya.Sudah tentu keindahan syurgaNya tergambar difikiran kita dikala terbaca firmanullah di atas walaupun kecantikan sebenarnya jauh lebih indah dari apa yang kita fikirkan. Rasulullah SAW juga bersabda: “Pada setiap malam, Allah Azzawajalla turun ke langit dunia ketika berbaki sepertiga malam yang akhir. Maka Allah berfirman: “Sesiapa yang berdoa kepada-Ku, pasti akan Kukabulkan, dan siapa yang memohon kepada-Ku, pasti akan Kuberi, dan siapa yang mohon ampun kepada-Ku pasti akan Kuampuninya.”.Jadi mengapa harus kita biarkan malam kita silih berganti sedangkan diri kita tidak sedikit pun mengambil manfaat darinya.

Justeru hati-hati mereka yang rindukan saat menjelmanya malam sering kali berbisik`alangkah indahnya jika malam dipanjangkan’.Bukan semata-mata untuk memanjakan jasad di tilam yang empuk.Bukan juga untuk diisi dengan khayalan yang mengulit.Bahkan,sudah pasti mereka tidak sama sekali mensia-siakan malamnya begitu sahaja.Sebaliknya,saat inilah mereka menggarap peluang,mencari ketenangan yang hilang dan yang paling penting mendekatkan diri kepada Ilahi,Sang Pencipta Alam.

Sirah telah membuktikan Rasulullah insan yang paling banyak solat di malam hari sehingga bengkak kedua kakinya.Ketika mana Aisyah bertanya “Ya Rasulullah,kenapa engkau lakukan ini semua,sedangkan engkau tidak pernah melakukan dosa”.Jawab baginda “ aku lakukan ini semua sebagai tanda syukurku pada Tuhanku”.Renungkan kawan-kawan,bagaimana Rasulullah yang ma’sum dari dosa tetap bangun hidupkan malamnya.Sedangkan kita yang sering terleka penuh diselubungi dosa dan noda,berat untuk berjaga malam dalam pengabdian,tetapi jika urusan berbentuk kedunian,tidak pun kita merasa berat,walaupun terpaksa berjaga larut malam.Betapa sombongnya kita yang berstatuskan hamba ini.Sehinggakan kita alpa dengan limpahan kurniaan Al Khalik kepada kita di siang hari.Mengapa tidak kita meneladani dan menjadikan sunnah Rasulullah ini sebagai amalan rutin sebelum kita memulakan aktiviti harian?

Wahai kawan-kawan sujudlah di sepertiga malam.Sesungguhnya qiamullai,di dalamnya tersirat ribuan hikmah bagi insan yang memburunya.Garaplah hikmah-hikmah yang dijanjikan Allah itu.Sebagai insan yang sering alpa,kita sebenarnya buta,tetapi dengan qiamullai Allah membuka mata hati kita.Barulah kita kenal hakikat Ketuhanan yang sebenar.Kita sebenarnya lupa daratanTetapi dari sinilah kita mula sedar hakikatnya kita tidak punya apa-apa,kita hanya insan kerdil di hadapan Allah.Dari sinilah juga kita mula membina kekuatan diri serta merendahkan taraf keegoan melalui muhasabah.

Sememangnya kesunyian malam mampu mendatangkan tunpuan dan kekhusyukan yang lebih kepada kita dalam beribadah.Di kala itu,hanya kita dengan Allah.Berhubung kita hanya dengan Ar Rahman. Justeru di sinilah mampu kita wujudkan keikhlasan dan kejujuran sebenar dalam beramal.Mustahil timbulnya sifat riak kerana pada ketika itu,hanya kita dengan Allah.

Akhir kalam , al-Quran yang menjadi sumber rujukan kita telah memberi motivasi kepada seluruh umat islam agar memanfaatkan sebahagian daripada waktu malam untuk mencipta hubungan abadi dan suci kepada Ilahi . Hubungan itu tidak memberi sebarang kesan pada Allah tapi kesannya amat luar biasa kepada mereka yg ingin menyahut panggilan itu . Malah Allah teleh menyediakan satu kedudukan buat mereka disisi-Nya .Siapa yang tidak mahukan kedudukan terpuji sebegini.Jadi ayuh kita berlumba-lumba ke arah kebaikan.Jadikan malam kita hidup dengan cahaya makrifah,lidah basah dengan alunan zikrullah dan bacaan kalamullah serta bertafakurlah dengan penuh rasa kehambaan.Semoga titisan air mata penyesalan di saat ini mampu menjadi hujah ketakwaan kita di hari pembalasan sana.

0 comments:

Post a Comment