Dalam kamus hidup golongan mukmin yang hakiki, istilah
beriman kepada Allah, rasul dan hari akhirat, pahala sebagai ganjaran, dosa
sebagai balasan, neraka dan syurga itu benar sudah sebati di dalam diri. Dunia
yang fana ini dianggap sebagai persinggahan yang singkat sahaja sebelum menyambung
perjalanan ke alam akhirat yang baqa’ lagi panjang. Allah S.W.T
mengingatkan di dalam ayat-Nya yang bermaksud : “Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini
tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan. Dan sesungguhnya negeri
akhirat itu adalah kehidupan yang sebenar-benarnya ; kalaulah mereka
mengetahui. ’’ {Surah al- ‘Ankabut 29 : 64}.
Mereka mengabdikan Allah Yang Maha Esa sebagai cinta hakiki
yang tersimpan suci di dalam lubuk hati. Setiap perkataan, perbuatan, pengakuan
dan niat hanya dipandu ke destinasi yang agung (Mardhotillah). Apabila kita
melihat seluruh putaran kehidupan mereka, terpancar dengan jelas cahaya
keimanan yang menggunung tinggi. Aqidah dan tauhid yang mantap kepada Allah
taala dipasak dengan rapi dan kukuh di dalam diri sebagai tanda mengagungkan
kebesaran-NYA. Mereka sentiasa mempersiapkan diri dengan bekalan amalan dan
ibadah yang berkualiti lagi diberkati untuk menempuh destinasi ke langit
Illahi.
Berdasarkan kisah-kisah sirah para anbiya’ terdahulu, kita
dapat melihat dengan jelas kekuatan tawhid uluhiyyah yang disemat nabi Muhammad
SAW kepada para sahabat yang dikasihi. Bilal bin Rabah, hamba berkulit hitam
yang diangkat darjatnya oleh Allah Taala sebagai manusia pertama di muka bumi yang dipilih oleh-NYA untuk
melaungkan seruan fardhu solat 5 waktu sebagai panggilan rahmat daripada
pencipta sekalian alam kepada khalifah bumi untuk sujud mengesakan-NYA. Setelah
memeluk Islam, Bilal bin Rabah diuji Allah dengan ujian yang sangat berat. Dia
dijemur di tengah padang pasir Sahara yang panas membakar oleh tuannya.
Namun, ujian dijemur ditengah terik panas, dihempap dadanya
dengan batu besar tidak mendorong bilal untuk mengeluh kepada Allah, sebaliknya
penyeksaan ini telah menjadi tarbiyah buat dirinya untuk terus lagi menaikkan
rasa cinta dan taqwa kepada penciptanya. Di saat dirinya kesepian, hatinya
sedikitpun tidak terusik untuk murtad daripada cahaya Islam. Bilal tahu tidak
ada manusia yang dapat membantu dirinya ketika itu, tetapi dia tetap yakin
bahawa Allah Yang Maha Esa sentiasa ada untuk menolongnya. Kita dapat lihat
betapa kuatnya kekuatan aqidah dan tawhid sebagai tunjang agama Islam.
Beruntunglah bagi orang-orang yang beriman. Firman Allah SWT di dalam kitab-NYA
yang bermaksud “Adapun orang yang beriman dan beramal soleh, maka Tuhan
memasukkan mereka ke dalam rahmat-NYA (syurga). Itulah kemenangan yang nyata.”
{ Surah al-Jathiyah 45:30 }
Selain itu, sejarah Islam telah mendedahkan keistimewaan
seorang hamba Allah yang terkenal dalam dunia kegemilangan Islam pada zaman
Turki Uthmaniyyah, Sultan Muhammad Al-Fateh. Beliau merupakan seorang pemimpin
muda yang menjadi contoh teladan kepada umat Islam kini. Sebelum bertempur,
beliau mempersiapkan diri dengan keperibadian, ketaqwaan dan akhlak yang unggul
sebagai bekalan untuk menempah kejayaan. Keimanannya yang tinggi kepada Allah
dan kepakarannya yang tinggi dalam bidang ilmu telah membantu beliau
membebaskan kota Konstantinopel daripada cengkaman kekufuran dan kesyirikan
yang berada di bawah pemerintahan kerajaan Byzantine. Kehebatan dan
kemenangannya telah diramal oleh nabi Muhammad ketika peperangan Khandak bahawa
Konstantinopel akan berjaya ditawan oleh sebaik-baik raja dan tenteranya adalah
sebaik-baik tentera.
Kehadiran iman di hati ialah jaminan seseorang meraih
kebahagiaan yang hakiki. Tanpa nur iman, manusia meraba-raba dalam gelap tanpa
obor yang menerangi dalam hidupnya. Beriman dan mengakui bahawa diri ini milik
Allah ialah langkah pertama menuju kebahagiaan hakiki. Semoga kita semua kaum
muslimin umat nabi Muhammad S.A.W dapat merasai perasaan bahagia ini.
Sesungguhnya kehidupan di dunia ini merupakan neraka bagi orang mukmin dan
syurga bagi orang kafir. Hujan mehnah yang datang bertubi-tubi di dalam setiap
detik kehidupan mereka tidak menjadi peluntur kepada pakaian iman yang putih
bersih malah ianya telah menaikkan lagi sinar diri mereka di sisi Allah
Taala.
Di dalam Al-Quran, berkali-kali Allah menyebut tentang
Jannah sebagai sebaik-baik tempat pembalasan. Dan mukmin yang sejati ialah
diantara penempah tiket yang terawal untuk masuk ke dalam syurga yang tiada
mata pernah melihat keindahannya, tiada kata yang mampu mengungkapkan
keindahannya dan tiada lukisan yang dapat mentafsirkan keindahannya. Betapa
mahalnya harga seorang mukmin dari pandangan-NYA apabila dijanjikan kepada
mereka syurga yang tiada tandingan nikmatnya dengan seluruh isi dunia. Allah
S.W.T berfirman yang bermaksud : “Mereka itu (orang yang) diberikan syurga
‘Adn, yang mengalir sungai-sungai di bawahnya. Di dalam syurga itu, mereka
dihiasi dengan gelang tangan emas dan memakai pakaian hijau daripada sundus dan
istabraq. Mereka duduk sambil bersandar di atas pelamin-pelamin yang indah.”
(Surah al-Kahfi 18:31).
0 comments:
Post a Comment