Assalamualaikum , dalam entry yang lepas , kita telah membicarakan sedikit sebanyak tentang konsep ihsan yang mana telah ditekankan dalam hadis 40 imam Nawawi . Jadi, jelaslah IHSAN bukanlah satu isu yang perlu dipandang enteng tetapi ihsan perlu dititik beratkan dalam usaha untuk mencapai keredhaan daripada Yang Maha Penyayang.
Seperti yang telah diterangkan sebelum ini, ihsan terbahagi kepada dua, iaitu ihsan dalam beribadah kepada Allah dan ihsan dalam berurusan dengan makhluk ciptaanNya.
Seperti yang diketahui Ihsan seharusnya diaplikasikan dalam kehidupan seharian kita, tetapi ramai antara kita tidak pasti bagaimana untuk mengaplikasikan konsep ihsan itu. Justeru dalam entry kali ini kita akan membincangkan sedikit sebanyak tentang cara-cara atau konsep ihsan ketika bercuti.
IHSAN DALAM BERIBADAH
Cuti seringkali dikaitkan dengan berada di rumah bersama keluarga. Ihsan dalam beribadah boleh diterapkan dengan menunaikan solat secara berjemaah di surau atau pun di rumah bersama keluarga.Di samping itu, kita juga boleh menerapkan ihsan dengan menggandakan lagi amalan kita dengan semaksimanya. Kita juga boleh mengajak saudara mara untuk turut serta berlumba-lumba mencari redhaNya dengan beribadah kerana waktu cuti adalah waktu untuk kita berehat dan kita dapat melarikan diri dari kesibukan kerja atau belajar buat sementara.
Kita juga seelok-eloknya menghadiri majlis ilmu yang diadakan di kawasan perumahan. Sibuk atau tidak punyai masa tidak lagi boleh dijadikan alasan memandangkan waktu cuti merupakan waktu rehat bagi kita. Jika kita mampu pergi bersiar-siar atau menonton cerita di hadapan televisyen selama berjam-jam, tidak salahlah jika kita pergi mendengar ceramah di masjid atau surau berdekat. Tetapi, jika kita masih memberi alasan tiada kenderaan, nah, buka sahaja mana-mana blog atau laman youtube dan cari sahaja apa yang diinginkan, pasti beribu hasil yang boleh kita dapati. Semuanya terletak pada kita.
IHSAN TERHADAP KELUARGA DAN MASYARAKAT
Konsep ihsan terhadap keluarga boleh diaplikasikan dengan cara menolong kedua orang tua. Selain itu, kita juga mestilah sentiasa menjaga hati keluarga kita dengan menghormati mereka dan menunjukkan kasih sayang terhadap mereka.Ihsan juga bererti tidak mengecilkan hati keluarga kita di samping belajar untuk memahami keadaan mereka. Waktu cuti bersama keluarga ini mestilah dimanfaatkan dengan sebaik mungkin kerana waktu cuti adalah wantu yang sangat berharga dan jarang sekali kita mempunyai kesempatan untuk meluangkan masa bersama keluarga kita.Tanggungjawab terhadap keluarga juga mestilah dititik beratkan dalam usaha untuk menanamkan sifat ihsan dalam siri setiap individu. Justeru, kita amatlah dinasihati supaya mengelakkan pergaduhan atau pertelingkahan kerana perkara ini bukan sahaja boleh merosakkan kekeluargaan tetapi ia juga bertentangan dengan konsep ihsan yang cuba diterapkan.
Dalam konteks masyarkat pula, ihsan boleh diterapkan dengan pelbagai cara terutamanya sewaktu cuti. Misalnya, kita boleh melawat saudara mara, jiran tetangga untuk mengenali mereka dengan lebih dekat. Kehidupan kota contohnya sering dikaitkan dengan keadaan sibuk yang menghalang kita untuk berkenalan hatta dengan jiran sebelah rumah sekali pun. Justeru, waktu cuti yang ada mestilah dimanfaatkan dengan berusaha untuk mengenali jiran tetangga. Biarlah kita yang memulakan persaudaraan itu dahulu, kerana hubungan persaudaraan itu sangatlah disukai oleh Allah. Dengan usaha menyemai benih persaudaraan dalam kehidupan, kita dapat saling membantu dan dapat menunaikan hak masing-masing. Siapa tahu suatu hari nanti kita akan memerlukan pertolongan daripada jiran tetangga.
IHSAN TERHADAP ALAM SEKITAR
Selain daripada meluangkan masa di rumah, ramai antara kita yang lebih suka memanfaatkan cuti dengan melawat kawasan pelancongan. Pelbagai langkah yang boleh dilakukan untuk menerapkan konsep ihsan ini. Jika kita berkunjung ke pantai untuk berkelah dan sebagainya, kita seharusnya memastikan kawasan pantai itu tidak dikotori dengan sampah kerana pantai dan sungai juga adalah makhluk Allah, kita seharusnya berlaku ihsan terhadap kawasan tersebut.
Selain itu, jika kita melawat zoo misalnya, kita seharusnya mematuhi etika yang telah ditetapkan. Contohnya, jika terdapat papan tanda yang melarang kita untuk member makanan kepada haiwan tersebut, kita sewajarnya mematuhi larangan itu. Kita tidak boleh sewenang-wenangnya memberi makanan kepada haiwan tersebut kerana walau pun tiada penjaga zoo yang melihat tetapi Allah tetap melihat. Barangkali makanan yang kita berikan kepada haiwan itu boleh mengundang bahaya kepada haiwan tersebut. Kita juga boleh menanam pokok serta menjaganya dengan sebaik mungkin dan berbudi kepada tanah.
Seharusnya sebagai seorang makhluk kita mestilah menunaikan hak makhluk yang lain dan kita dilarang menganiaya makhluk yang lain dengan cara apa sekali pun dan di mana sekali pun kerana konsep ihsan telah menekankan kita agar sentiasa percaya bahawa Allah sedang melihat setiap perbuatan yang kita lakukan.
KESIMPULAN
Seelok-eloknya waktu cuti yang ada ini menjadi satu platform untuk kita memaksimakan usaha untuk menerapkan ihsan dalam kehidupan harian. Ketahuilah ihsan itu boleh diaplikasikan dengan pelbagai cara mengikut syariatnya.Justeru jangan tunggu hari esok lagi untuk berbuat ihsan kerana esok belum pasti hatta sesaat akan dating pun masih belum pasti. Marilah sama-sama kita berusaha menerapkan ihsan dalam kehidupan harian.Semuanya bermula dengan satu langkah yang kecil.
Jangan jadikan kesibukan sebagai alasan kerana waktu cuti adalah waktu yang paling berharga, tidak salah , malah amatlah digalakkan untuk kita bersama keluarga dan membimbing mereka mengaplikasi konsep ihsan dan berlumba-lumba mencari redhaNya. Semuanya bermula dengan anda yang sedang membaca entry ini. Ayuh, marilah berihsan dalam kehidupan. Ada ganjaran yang menuggu. In shaa Allah. Sebelum menamatkan pembacaan, marilah kita sama-sama merenung hadis ini:
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah mewajibkan berihsan (menyempurnakan sesuatu dengan baik) dalam semua perkara.” (Hadis riwayat Muslim)
0 comments:
Post a Comment